Pengasas syarikat pembikinan filem Hollywood, Riza Shariz Abdul Aziz, 49, mengaku tidak bersalah ke atas lima pertuduhan membabitkan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM1.026 bilion, di Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, pagi ini.

Beliau, yang juga anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minta dibicarakan ke atas kelima-lima pertuduhan, yang dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Selepas mendengar hujah daripada barisan Pendakwaraya yang diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram, dan ketua peguambela Datuk Hariharan Tara Singh, Rozina membenarkan Riza diikat jamin sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin, dan passport diserahkan kepada mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Riza didakwa melibatkan diri dalam aktiviti penggubahan wang haram, iaitu menerima wang sejumlah AS$D1.14 juta (RM4.72 juta) dan AS$9 juta (RM37.2 juta) dari Good Star Limited melalui akaun Red Granite Pictures.

Bagi pertuduhan ketiga, keempat dan kelima, beliau didakwa menerima wang sejumlah AS$133 juta (RM550 juta), AS$60 juta (RM248 juta) dan AS$45 juta (RM182 juta) dari Aabar Investment PJS Ltd melalui akaun Red Granite Capital Ltd.

Setiap pertuduhan dibaca di bawah akta Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta yang sama.

Sekiranya disabit bersalah, setiap pertuduhan boleh dikenakan denda RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Rozina menetapkan 9 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.