TUARAN: Sebanyak RM10 juta diperuntukkan di bawah Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) bagi membantu usahawan belia di negeri itu, kata Datuk Seri Hajiji Noor.

Menurut Ketua Menteri Sabah itu, inisiatif tersebut adalah langkah segera bagi melonjak kembali ekonomi golongan belia tempatan sekali gus membantu memulihkan perniagaan mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

"Menyantuni cadangan daripada kumpulan anak muda yang mahu memulakan perniagaan, kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS).

"Inisiatif ini melibatkan bantuan kepada usahawan belia dan beliawanis untuk memulihkan perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan bantuan memulakan perniagaan," katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Belia Negara 2022 di Tuaran, Sabah pada Sabtu.

Selain itu, kerajaan sebelum ini juga menurut beliau telah melancarkan penyerahan bantuan motosikal BizRider300 yang mana sebanyak 300 buah motosikal diberikan kepada belia di negeri ini melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).

Jelasnya kerajaan negeri akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan terutamanya golongan belia dalam agenda memacu pembangunan negeri itu.

Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi tujuan itu ialah Inisiatif Felo Sabah Maju Jaya yang memberi peluang kepada graduan belia mengenali selok-belok pentadbiran kerajaan melalui bimbingan dan pembelajaran di 12 kementerian negeri tersebut. 

"Bagi memperkasakan lagi modal insan di negeri ini, satu lagi inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan negeri melalui Belanjawan 2022 ialah inisiatif Felo Sabah Maju Jaya.

"Seramai 24 graduan sebagai kumpulan pertama telah dipilih untuk program bimbingan dan pembelajaran langsung selama enam bulan di 12 kementerian di negeri ini, bermula pada bulan Mac lalu.

"Program ini merupakan kerjasama pelbagai agensi termasuk Sekretariat Hala Tuju SMJ, Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) dan Majlis Belia Sabah (MBS)," katanya.