KUALA KANGSAR: Kerajaan telah melunaskan RM200 juta bayaran subsidi kepada penternak ayam di seluruh negara setakat Khamis lalu, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Beliau berkata, dengan bayaran itu, kadar subsidi berkenaan masih mempunyai lebihan sekitar RM529 juta daripada jumlah keseluruhan RM729.43 juta yang diperuntukkan di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM).

Menurutnya, lebihan peruntukan itu tidak akan digunakan bagi tujuan bayaran subsidi yang sama selepas berakhir 30 Jun ini, sebaliknya dialihkan dalam bentuk bantuan lain.

"Kita tidak akan memberi subsidi lagi selepas bayaran terakhir pada 30 Jun ini.

"Jadi nilai lebihan subsidi yang ada akan dialihkan dalam bentuk lain seperti yang diumumkan Perdana Menteri khusus untuk golongan B40 yang akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke projek pembangunan pemasaran agro makanan Kuala Kangsar di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Mengulas lanjut, Ronald mengakui pemberhentian subsidi itu akan menyebabkan kenaikan harga ayam di pasaran antara RM11 ke RM12 sekilogram berbanding harga siling RM8.90 yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, subsidi diberikan sebelum ini menyaksikan kerajaan menampung sehingga RM1.40 sekilogram dan sekiranya harga diapungkan selepas berakhir skim harga maksimum runcit pada 30 Jun ini, sudah pasti kenaikan harga berlaku.

"Kerajaan menampung kerana sedia maklum kenaikan kos input pertanian, tenaga buruh serta kematian haiwan ternakan akibat penyakit yang terpaksa ditanggung oleh penternak.

"Jika harga ayam diapungkan, tentu sekali harga akan meningkat daripada RM8.90 sekilogram yang kita tetapkan sekarang," katanya.

Pada 1 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan akan menghentikan bayaran subsidi kepada penternak ayam bermula 1 Julai ini selepas mendapati, ramai dalam kalangan penternak tidak menuntut bayaran subsidi selain pelbagai isu dibangkitkan.

Sebagai gantian, kerajaan akan memperkenalkan sumbangan kewangan terus kepada rakyat terutama golongan B40 untuk memastikan bebanan kenaikan harga tidak terlalu dirasai pengguna.

Dalam perkembangan lain, Ronald memberitahu, kementeriannya akan mengemukakan beberapa pelan jangka panjang bagi mengatasi masalah pengairan padi di Kerian yang berlaku setiap kali musim kemarau.

Menurutnya, perbincangan perkara itu masih berjalan di peringkat kementerian bersama kerajaan negeri agar pendekatan terbaik dapat dicapai bagi mengelak kesan berpanjangan terhadap penjadualan tanaman padi di kawasan itu.

"Setiap kali tiba musim kemarau akan berlaku masalah terhadap takungan air di kolam tadahan yang menjejaskan pengairan.

"Bagi kawasan penanaman padi, pengairan adalah isu paling utama dan sudah tentulah, kita perlukan langkah jangka panjang untuk mengatasinya.

"Begitupun perkara ini masih di peringkat perbincangan untuk kerajaan perincikan agar masalah sama tidak berlarutan," katanya


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian