Sehingga Mei lalu, sebanyak RM3.18 juta peruntukan di bawah geran Sumbangan Seni Kreatif 1Malaysia telah diagihkan kepada 146 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) relevan di seluruh negara.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada geran RM6 juta di bawah belanjawan 2013 bagi membantu pengurusan dan pentadbiran NGO bidang seni kreatif.

"Kita harap melalui peruntukan ini, NGO dapat menggandakan usaha serta menggiatkan aktiviti persatuan untuk pertahankan seni budaya dan warisan.

"Sekiranya ada NGO telah berdaftar tetapi belum terima, mereka boleh hubungi bahagian dasar kebudayaan kementerian kerana kita (kerajaan) amat menghargai usaha-usaha NGO ini," katanya pada Malam Ramah Mesra dan Majlis Penyampaian Sumbangan Seni Kreatif 1Malaysia, di Kompleks Islam Sarawak, di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Datuk Norliza Rofli.

Pada majlis itu, sebanyak 22 NGO bidang seni kreatif di Sarawak menerima peruntukan masing-masing sebanyak RM20,000.

Selain itu sumbangan sebanyak RM5,000 diberikan kepada penggiat seni kreatif dan juga koreografer, Ramli Ali, 55, yang terlantar sakit baru-baru ini kerana diserang strok.

Mohamed Nazri berkata Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak telah berjaya mengangkat dan meletakkan negeri itu dalam kelas tersendiri dalam bidang seni dan budaya.

"JKKN Sarawak berjaya membantu keperluan penggiat seni di negeri ini, dan pemeliharaan seni budaya di negeri ini berada di tahap dan kelasnya tersendiri dan menjadi tanda aras kepada negeri-negeri lain di Malaysia untuk diikuti," katanya.