IPOH: Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Speaker diperuntukkan RM300,000 untuk menyantuni masalah rakyat yang berdepan pelbagai kesukaran ekoran pandemik COVID-19.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu merangkumi RM100,000 dalam bentuk pemberian terus atau ‘outright grant’ (OG) dan RM200,000 dalam bentuk projek-projek kecil untuk masyarakat melalui Program Pemantapan Infrastruktur Bagi Memacu Kesejahteraan (PEMACU).

Menurutnya, setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menerima tambahan RM200,000, masing-masing RM100,000 dalam bentuk OG dan dalam bentuk kerja-kerja pembangunan untuk manfaat rakyat, yang boleh dibelanjakan merentasi kawasan DUN masing-masing.

“Suasana ketidaktentuan ekonomi tentunya menguji kecekalan Ahli-ahli Yang Berhormat di dalam dewan ini untuk menyantuni keluh tangis rakyat yang berdepan pelbagai kesukaran.

“Selain kaunter pejabat kerajaan, Pusat Khidmat wakil rakyat adalah antara tempat paling awal dikunjungi rakyat untuk mengadu masalah,” kata Saarani ketika membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Negeri Perak di sini, hari ini.

Dalam masa sama, kata beliau, setiap Pusat Khidmat ADUN diperuntukkan RM84,000 setahun, iaitu kenaikan sebanyak RM2,000 sebulan.

Berdasarkan semua peruntukan di atas, katanya, jumlah keseluruhan peruntukan untuk ADUN Perak ialah sebanyak RM25.0 juta.

“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri, semoga dengan penambahan peruntukan ini membolehkan Ahli-ahli Yang Berhormat memberi perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan,” ujarnya.