GERIK: Kerajaan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM676.4 juta tahun ini untuk pembangunan pekebun kecil di seluruh negara dengan separuh daripada jumlah itu adalah melalui Program Tanam Semula Getah (TSG).

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pihaknya sentiasa membuka ruang dan peluang kepada individu yang berminat untuk membangunkan industri getah di negara ini serta menjadi sebahagian daripada warga pekebun kecil RISDA.

"Mereka yang berminat akan menerima pelbagai program bantuan yang ditawarkan dengan nilai sehingga RM 38,800," katanya dalam ucapan perasmian Karnival Usahawan RISDA dan Pelancaran Kempen TSG Peringkat Negeri Perak 2023, di sini, pada Sabtu.

Noraini, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, selain menyediakan pelbagai pakej bantuan peningkatan ekonomi kepada pekebun kecil, RISDA juga membuka peluang yang sama kepada ahli keluarga pekebun kecil itu sendiri.

Katanya, pakej bantuan itu adalah untuk memastikan sasaran satu rumah pekebun kecil boleh menjana pendapatan sehingga RM4,500 sebulan menjelang akhir 2025 dapat dicapai sebaik mungkin.

"Melalui sasaran ini, program keusahawanan telah dirangka khusus bagi membantu pekebun kecil getah meningkatkan jumlah pendapatan isi rumah, tidak hanya melalui hasil kebun getah, malah melalui aktiviti perniagaan dan keusahawanan," katanya.

Menurutnya, semua pekebun kecil turut layak untuk menerima bantuan keusahawanan di bawah Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) yang mana melalui bantuan ini, pekebun kecil akan menerima bantuan sehingga RM20,000 dalam bentuk material pembangunan.

Noraini berkata, ketika ini, sektor pekebun kecil getah menyumbang 84.2 peratus hasil pengeluaran getah asli negara yang menunjukkan dominasi pekebun kecil sebagai pemain utama bagi pengeluaran getah asli.

Bagaimanapun, katanya, pekebun kecil terdedah dengan pelbagai isu antaranya ketidakstabilan harga pasaran, cuaca tidak menentu, aplikasi teknologi dan serangan penyakit pokok yang telah membawa kepada penurunan produktiviti getah.

Isu-isu tersebut juga, katanya, telah menyebabkan jumlah kebun getah tidak diusahakan meningkat kepada 533,000 hektar pada tahun lepas berbanding 409,000 hektar pada tahun sebelumnya.

"Kesannya, pengeluaran getah asli negara menurun sebanyak 19.7 peratus iaitu 377,000 tan metrik tahun lepas berbanding 469,000 tan metrik pada tahun sebelumnya.

"Justeru menerusi karnival ini, RISDA meneruskan usaha dan misi untuk terus berkempen menerangkan pelbagai bantuan melalui program tanam semula dan keusahawanan demi kemakmuran 552,543 orang pekebun kecil getah di seluruh negara," katanya.

Katanya, terdapat banyak bantuan lain yang boleh dimanfaatkan oleh pekebun kecil setelah menyertai Program TSG, antaranya, bantuan Skim Getah Matang, latihan dan bimbingan, pembangunan modal insan TVET JELITA@RISDA. - BERNAMA