PUTRAJAYA: Sebanyak RM8 juta dana tambahan akan disalur kepada Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA) bagi melaksanakan program untuk membantu kelangsungan serta kelestarian penggiat seni dan budaya yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata peruntukan tambahan itu akan memanfaatkan antara 500 hingga 700 penggiat seni dan pekerja tadbir selain dapat menjana 2,000 peluang pekerjaan melibatkan sembilan program kesenian dan kebudayaan meliputi geran, bengkel pembangunan kapasiti, platform berkarya dan dokumentasi,

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pengumuman penerima dana insiatif pemulihan CENDANA di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) yang diadakan secara maya hari ini.

"Secara keseluruhan dalam masa 12 bulan, peruntukan RM17 juta telah diluluskan CENDANA untuk memanfaatkan sektor seni budaya. Kini tambahan peruntukan RM8 juta di bawah PEMULIH (Pelan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi) akan ditadbir urus oleh CENDANA untuk manfaat penggiat seni budaya, artisan dan pekerja tadbir," katanya.

Saifuddin berkata peruntukan RM17 juta yang diluluskan CENDANA iaitu RM10 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan RM7 juta di bawah PRISMA telah memastikan kelangsungan hidup penggiat seni dan budaya yang tertekan akibat pandemik COVID-19 serta menjamin kesinambungan penghasilan karya seni budaya tempatan.

Beliau berkata hari ini, CENDANA mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM7 juta di bawah PRISMA untuk penggiat seni budaya yang berkecimpung dalam seni persembahan, seni visual, muzik independen dan kraf.

Katanya ia merupakan kesinambungan daripada jumlah RM10 juta yang telah diluluskan baru-baru ini di bawah inisiatif pemulihan CENDANA-PENJANA yang telah menjana lebih 3,000 peluang pekerjaan baharu.

Saifuddin berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) komited untuk memberi sokongan berterusan kepada sektor seni budaya yang memainkan peranan penting kepada negara dan pada 2020, KKMM telah melaksanakan pelan PENJANA untuk industri kreatif dengan jumlah RM225 juta bagi menyokong sektor itu mengharungi cabaran pandemik COVID-19.

Beliau berkata pada tahun 2021 pula, sebanyak RM89.2 juta telah diumumkan di bawah inisiatif PRISMA bagi membantu sektor seni budaya agar terus bertahan dalam fasa pandemik itu.

"KKKM amat bersyukur dan berterima kasih dengan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta untuk industri kreatif di bawah PEMULIH dan komited untuk mengembalikan sinar industri kreatif dan terus berusaha untuk melindung serta mengekalkan perniagaan dan pekerjaan dalam industri ini," katanya.

CENDANA adalah unit di bawah MyCreative Ventures dan telah dipertanggungjawab bersama dengan MyCreative Ventures untuk mengurus PRISMA yang dilancarkan pada 5 Feb 2021.

Saifuddin berkata antara program di bawah PRISMA yang menarik perhatian beliau ialah Adiguru CENDANA bagi menggalakkan komuniti tempatan yang komited kepada seni, tradisi dan warisan mereka untuk terlibat dalam pertumbuhan negara secara bersama.

Beliau berkata program itu juga memastikan kesinambungan bentuk seni tradisional Malaysia dengan mengiktiraf pencapaian Adiguru seni persembahan tradisional, seni visual, muzik dan kraf di seluruh Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA Izan Satrina Mohd Sallehuddin pula berkata sehingga kini, CENDANA telah meluluskan peruntukan kepada kira-kira 1,000 penerima, mewujudkan peluang pekerjaan untuk lebih 11,000 rakyat Malaysia dan mempertingkat kemahiran kepada lebih 13,000 penggiat industri sejak beroperasi pada 2017.

Beliau berkata sebahagian daripada usaha itu ialah mengiktiraf sumbangan Adiguru CENDANA yang telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kelestarian dan pemeliharaan seni tradisional.

Katanya ini termasuk mereka yang memperjuang seni tradisional dalam Hokkien Potehi (Teater Boneka Sarung Tangan), Mak Yong, Kuda Kepang, Tarian Topeng Orang Asli Mah Meri, Tarian Gambus Padang Changkat dan Muzik Tradisional Gambus, Syair, Wayang Kulit serta Tarian Main Puteri.

-- BERNAMA