KUALA LUMPUR: Malaysia berada di landasan yang tepat menuju transformasi teknologi dan digital yang lebih maju.

Bagaimanapun Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd berpandangan, semua pihak tidak boleh berpuas hati kerana digitalisasi dan peningkatan kemahiran berterusan dengan jelas di era masa kini.

Justeru, menurut ketua pegawai eksekutifnya Michael Yuan, pihaknya yakin ketika ini sebahagian besar teknologi dipacu oleh rangkaian 5G dan Kecerdasan Buatan (AI).

"Ini dibina berdasarkan beberapa perkara, antaranya kesambungan di mana-mana, kecerdasan yang meluas, platform digital untuk membolehkan industri merealisasikan transformasi digital mereka; peranti peribadi untuk pengguna dan tenaga digital," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Selaras dengan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) pada Isnin, syarikat teknologi gergasi China itu menggariskan beberapa perkara penting untuk diberikan penekanan.

"Sejak kehadiran kami di Malaysia 20 tahun yang lalu pada 2001, Huawei tetap komited dengan misinya untuk menyokong negara ini dalam perjalanan dan pertumbuhan digitalnya.

"Saya percaya bahawa RMK-12 akan menyokong penyebaran rangkaian 5G yang lebih mantap dengan syarikat telekomunikasi yang inklusif dan terbuka kepada lebih banyak pakar industri, kerana ini akan menjana idea yang lebih inovatif dan menarik pelaburan yang lebih besar dalam dan luar negara.

"Saya percaya strategi yang harus dipertimbangkan termasuk mengekalkan fleksibiliti untuk mengundang syarikat telekomunikasi untuk menyampaikan rangkaian dan perkhidmatan 5G di Malaysia.

"Juga harus ada langkah-langkah pertanggungjawaban dan pemerintahan yang telus untuk pelaksanaan strategi ini," jelasnya.

Mengulas lanjut, Michael berkata, berdasarkan Huawei Global Industry Vision (GIV), trend untuk pengkomputeran awan (cloud computing) akan menyebabkan kebanyakan organisasi mempercepat migrasi mereka ke storan awan menjelang 2025 dengan 100 peratus perusahaan di cloud dan 86 peratus perusahaan menggunakan AI.

"Kerajaan perlu mendorong peniaga kecil dan sederhana (PKS) untuk menggunakan teknologi ini dan menjadikannya berpatutan untuk mereka.

"Malaysia memerlukan dasar dan peraturan yang tepat untuk mempromosikan penggunaan Cloud dan AI, terutamanya Cloud Alpha Edge yang disediakan oleh Telekom Malaysia Berhad, satu-satunya infrastruktur cloud & AI tempatan di Malaysia yang akan memastikan kedaulatan data.

Dalam pada itu, Michael berkata, Huawei akan terus memainkan peranannya sebagai rakan teknologi dan inovasi yang dipercayai yang berdiri di samping negara ini ketika bergerak maju untuk mewujudkan sebuah negara yang maju, progresif dan inklusif secara digital.

"Dengan ini kami memperbaharui janji kami untuk terus berkhidmat di negara ini, kerana Malaysia terus berusaha untuk meletakkan dirinya sebagai Pusat Digital ASEAN dan kami sangat teruja untuk melihat apa lagi yang boleh dan akan dicapai oleh Malaysia," katanya.