KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal memperkenalkan Pelan Rangka Tindakan Pembaharuan Sistem Penjagaan Kesihatan Malaysia sebagai hala tuju baharu untuk mentransformasi sistem penjagaan kesihatan negara.

Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang diterbitkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada Isnin, bagi mencapai maksud tersebut, kerajaan akan menjalankan kajian bagi memantapkan landskap sektor kesihatan.

Menerusi pelan berkenaan, beberapa dasar akan menyasarkan keperluan kesihatan khusus seperti penjagaan kesihatan oral, kesihatan mental dan imunisasi.

“Di samping itu dasar keselamatan makanan akan dikaji semula untuk melindungi rakyat daripada ancaman kesihatan dan penipuan dalam rantaian bekalan makanan, termasuk penyediaan, penjualan, dan penggunaan makanan,” menurut dokumen itu lagi.

Pelaksanaan semua inisiatif berkenaan adalah bagi memastikan liputan kesihatan yang komprehensif, menjajarkan peranan pelbagai pihak berkepentingan dan menyelaras dengan lebih baik perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Memerangi Penyakit Berjangkit

Melalui pelaksanaan RMK-12, kerajaan bakal mempergiatkan program pencegahan dan intervensi bagi memerangi penyakit berjangkit, khususnya sewaktu wabak atau pandemik.

Menurut dokumen tersebut, program kesedaran dan mitigasi mengeai penularan penyakit, terutamanya COVID-19, HIV, denggi, TB, rabies, hepatitis B dan C akan dipertingkat dengan memberi tumpuan kepada kumpulan yang disasarkan.

Di samping itu, daftar imunisasi kebangsaan juga akan diwujudkan manakala program imunisasi akan diperluas bagi meliputi kanak-kanak di sekolah swasta, warga emas, Orang Asli dan penduduk yang kurang mendapat liputan perkhidmatan kesihatan di Sabah dan Sarawak.

Memerangi Penyakit Tidak Berjangkit

Kerajaan juga akan mempergiatkan usaha memerangi penyakit tidak berjangkit seperti kanser, kardiovaskular dan diabetis mellitus serta masalah mental.

Menurut dokumen RMK-12, pelbagai program kesedaran dan gaya hidup sihat akan diperluas bagi meliputi lebih ramai penduduk.

Selain itu, kerajaan juga akan merangka pelan strategik kebangsaan khusus untuk menangani isu kesihatan mental serta daftar bunuh diri bagi merangka langkah berkesan untuk menangani jumlah kes bunuh diri yang semakin meningkat.

Kualiti dan Akses kepada Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan

Dokumen itu juga memberitahu, kerajaan bakal merangka pelan induk khusus mengenai fasiliti dan sumber manusia bagi memperkukuh keupayaan dan kemampuan personal serta menambah baik fasiliti penjagaan kesihatan.

Menurut dokumen RMK-12 itu, reka bentuk fasiliti penjagaan kesihatan baharu akan diteliti semula bagi memenuhi keperluan pasca COVID-19.

“Konsep hospital kluster akan diperluas bagi meliputi lebih banyak hospital awam, termasuk hospital pengajar dan klinik kesihatan, untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan pakar.

“Tumpuan juga akan diberi kepada aspek penyelenggaraan melalui pendekatan pembaikan, penggantian, dan pemulihan. Ini bertujuan bagi menambah baik fasiliti yang uzur, terutamanya melebih 50 tahun serta peralatan perubatan yang lapuk,” menurut dokumen itu lagi.

Selain itu, teknologi baharu bakal dioptimumkan bagi menyediakan akses yang lebih baik kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan.