MALAYSIA
RMK13: Buat penilaian suku tahunan, wujudkan pelaporan dashboard 'lampu isyarat' - Pakar

Rakyat perlu disalurkan gambaran jelas mengenai tahap pencapaian negara dari semasa ke semasa supaya kementerian berkaitan dapat dipertanggungjawabkan. - Gambar fail/FB Ahmed Razman Abdul Latiff
KUALA LUMPUR: Mekanisme baharu bagi memantau pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 iaitu MyRMK dilihat sebagai usaha positif memperkukuh keberkesanan dasar awam dan meningkatkan ketelusan kerajaan.
Ringkasan AI
- Profesor Madya Dr. Ahmed Razman menyifatkan mekanisme baharu MyRMK sebagai langkah positif untuk pantau pelaksanaan RMK13 secara berkala dan lebih telus.
- MyRMK membolehkan kelewatan atau kegagalan dasar dikesan awal dan diambil tindakan sebelum tempoh lima tahun berakhir.
- Beliau mencadangkan pelaporan berbentuk visual seperti sistem lampu isyarat bagi memudahkan rakyat dan wakil rakyat memahami kemajuan dasar kerajaan.
"RMK13 mempunyai skop lebih besar daripada RMK12 dengan empat tonggak utama dan sembilan tumpuan strategik, seiring itu perlu ada sistem pemantauan yang lebih menyeluruh.
"Mekanisme MyRMK boleh memastikan setiap tumpuan itu diukur dan dinilai dengan jelas, sekali gus menjamin matlamat dicapai mengikut sasaran," ujar Ahmed Razman dalam satu temu bual bersama Astro AWANI pada Khamis.
Dokumen RMK13 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada hari ini menggariskan empat tonggak utama iaitu meningkatkan kerencaman ekonomi, meningkatkan mobiliti sosial, mempercepat Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan mempertingkat kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar.
Selain sembilan tumpuan berasaskan tiga teras iaitu memperkukuh tatakelola baik, menaikkan siling dan lantai.
Tambah Ahmed Razman, rakyat perlu disalurkan gambaran jelas mengenai tahap pencapaian negara dari semasa ke semasa, data dan kemajuan berkaitan harus dikongsikan secara terbuka.
"Semua statistik ini boleh diterjemahkan dalam bentuk dashboard yang mudah difahami rakyat, contohnya sistem 'lampu isyarat'.
"Apa yang saya maksudkan adalah pelaporan berbentuk visual, misalnya warna merah, kuning dan hijau untuk menunjukkan status inisiatif tertentu, sudah berjaya dicapai atau belum.
"Daripada indikator ini, wakil rakyat boleh menggunakan maklumat berkenaan untuk mempersoalkan prestasi kementerian atau agensi berkaitan di Parlimen, mengapa masih merah atau kuning dasar yang dikendalikan," jelas beliau.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami