MALAYSIA
RMK13: RM67 bilion diperuntuk bagi pendidikan - PM Anwar

Anwar berkata, sistem pendidikan negara juga akan diperkemas agar lebih bersepadu, berkesan dan responsif kepada cabaran masa depan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM67 bilion akan diperuntukkan bagi sektor pendidikan pada Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) antaranya untuk membina sekolah baharu, membaiki dan menaik taraf bangunan sekolah, tadika KEMAS, fasiliti dan kemudahan institusi pendidikan tinggi awam.
Ringkasan AI
- Sebanyak RM67 bilion diperuntukkan bagi sektor pendidikan termasuk pembinaan sekolah baharu, naik taraf sekolah daif, tadika KEMAS dan fasiliti IPTA. Pembinaan sekolah vertikal akan diperluas dan dijadikan syarat bagi projek perumahan berskala besar.
- Kerajaan komited meningkatkan kadar enrolmen prasekolah dan menengah kepada 98 peratus serta memperkukuh kualiti pendidikan melalui penilaian PISA dan TIMSS. Prasekolah diwajibkan bermula umur lima tahun, waktu persekolahan akan dikaji semula dan model pendidikan untuk murid pintar cerdas ditambah baik.
- Penekanan diberikan kepada penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris, serta perluasan bahasa tambahan. Pendidikan STEM dan literasi digital diperkukuh termasuk pengenalan asas AI. KPM akan kawal selia pendidikan prasekolah hingga menengah, manakala KPT menyelaras pendidikan prauniversiti dan tinggi bagi meningkatkan kecekapan dasar.
"Untuk rekod sehingga 2025, kerajaan telah menaik taraf 1,200 sekolah daif di seluruh negara," katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Sementara itu beliau berkata Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang merupakan penanda aras utama pada peringkat kebangsaan akan terus diguna pakai untuk menilai keberkesanan dasar, kurikulum dan pendekatan pedagogi sistem pendidikan.
Anwar berkata kualiti pendidikan negara pada masa sama akan ditingkatkan agar berada separas purata antarabangsa berdasarkan penilaian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) bagi memastikan sistem pendidikan kekal berdaya saing dan relevan.
"Bagi mempertingkatkan keberhasilan pendidikan, kerajaan sedang bergerak ke arah mewajibkan prasekolah bermula umur lima tahun. Dalam masa yang sama, lebih banyak kemudahan prasekolah di sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM) akan disediakan terutama di kawasan desa.
"Kerajaan juga akan melaksanakan kajian semula ke atas waktu persekolahan optimum, menilai keberkesanan sekolah khusus serta menambah baik model pendidikan bagi murid pintar cerdas dan berbakat," katanya.
Beliau berkata tumpuan juga akan diberikan untuk memperkasakan penguasaan bahasa Melayu di semua peringkat selain bahasa Inggeris dijadikan sebagai sebahagian bahasa pembelajaran dan perhubungan sementara pembelajaran bahasa tambahan akan turut diperluas.
"Penekanan turut diberikan kepada pengukuhan pendidikan STEM dan literasi digital,termasuk pengenalan asas AI bagi melahirkan generasi yang bersedia memenuhi permintaan pasaran kerja masa depan yang bernilai tinggi," katanya.
Beliau berkata sistem pendidikan negara juga akan diperkemas agar lebih bersepadu, berkesan dan responsif kepada cabaran masa depan dan untuk ini, KPM akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengawal selia pendidikan prasekolah hingga menengah.
Bagi pendidikan prauniversiti dan pengajian tinggi, Anwar berkata ia akan diselaras oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan matlamat memperjelas bidang kuasa dan meningkatkan kecekapan dasar serta pelaksanaan.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini RMK13 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami