PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan terhadap seorang warga emas kerana merogol kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, pada 2018.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Noorin Badaruddin, Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid sebulat suara menolak rayuan Ramli Mat, 76, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya.
Hakim Noorin yang mengetuai panel itu berkata mahkamah mendapati tiada sebarang alasan untuk mengetepikan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen itu.
Ramli, yang masih bujang didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 14 Mac tahun lepas kerana merogol kanak-kanak perempuan itu di sebuah rumah di Arau, Perlis antara 6.30 petang dan 7.30 petang pada 17 Dis 2018. Ketika kejadian, dia berusia 69 tahun.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan.
Pada 15 Jan lepas, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman, sebelum tertuduh mengemukakan permohonan ke Mahkamah Rayuan.
Dalam prosiding di Mahkamah Rayuan, peguam yang mewakIli tertuduh, Norharniza Rusli berhujah terdapat keraguan mengenai identiti individu yang merogol kanak-kanak itu berikutan wujud percanggahan dalam keterangan mangsa.
Norharniza turut memohon mahkamah mengurangkan hukuman penjara dan mengecualikan hukuman sebatan atas faktor usia serta keadaan kesihatan Ramli, termasuk penglihatan yang semakin merosot dan memerlukan bantuan untuk melakukan aktiviti harian.
Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang, yang mewakili pihak pendakwaan berhujah bahawa DNA diperoleh daripada air mani yang ditemukan pada selimut dan kain sarung sepadan dengan DNA perayu.
Justeru, beliau memohon mahkamah mengekalkan sabitan, hukuman penjara dan sebatan kerana bagi kesalahan seksual hukuman sebatan boleh dikenakan terhadap pesalah yang berusia lebih 50 tahun.
Timbalan pendakwa raya itu berkata Ramli boleh memohon pengecualian sekiranya doktor mengesahkan kesihatannya tidak mengizinkan untuk menjalani hukuman berkenaan.
-- BERNAMA