Tindakan pendakwaan terhadap seorang pegawai polis di mahkamah yang terlibat dalam kes rogol membabitkan dua wanita warga Mongolia membuktikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berkompromi atau melindungi perlakuan jenayah pegawai dan anggota pasukan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata pihaknya telah menerima arahan Jabatan Peguam Negara untuk menuduh pegawai berpangkat Inspektor itu selepas dua kertas siasatan dibuka iaitu Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Kanun Keseksaan.

Menurutnya, pegawai itu telah dituduh semalam di Mahkamah Klang mengikut Seksyen 13 (f) ATIPSOM kerana kesalahan pemerdagangan orang dengan cara penyalahgunaan kuasa untuk tujuan eksploitasi seks.

Pegawai itu dijangka didakwa berdasarkan kertas siasatan kedua di Mahkamah Petaling Jaya , hari ini mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 354 kanun yang sama kerana kesalahan mencabul, katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA: Inspektor tidak mengaku bersalah perdagang dua wanita Mongolia

Beliau berkata tindakan tegas itu menunjukkan PDRM sentiasa menegakkan undang-undang tanpa mengira status dan kedudukan seseorang.

Huzir turut menyatakan kekesalan apabila terdapat segelintir masyarakat atau kumpulan masyarakat yang seolah-olah mempertikaikan kewibawaan PDRM dalam mengendalikan kes melibatkan pegawainya sendiri.

“Kami sekali lagi mengingatkan mereka yang bersikap skeptikal, prejudis dan memandang rendah akan profesionalisme kepolisan, supaya sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang dianggap pramatang khususnya dalam melontarkan komen atau ulasan dalam siasatan kes ini.

Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka yang cuba untuk mencetuskan persepsi negatif dan kegusaran awam dalam menangani apa jua kes yang disiasat. Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab dalam membina negara bangsa ke arah masyarakat yang aman dan sejahtera,” kata Huzir.

Sebelum ini, media melaporkan seorang anggota polis berpangkat inspektor ditahan selepas disyaki merogol dua wanita Mongolia di sebuah hotel di Petaling Jaya pada 11 April lepas.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan selepas polis menyelamatkan mangsa, masing-masing berusia 20 dan 37 tahun, di hotel berkenaan.

-- BERNAMA