Skip to main content

Malaysia

Rokok seludup: Kerajaan perlu dasar baharu menangani defisit belanjawan

KOTA BHARU, 21 Ogos -- Sebahagian rampasan rokok putih yang dipamerkan pada sidang media di Wisma Kastam Padang Bongor hari ini.  Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas 2.8 juta batang rokok putih bernilai RM2.25 juta termasuk cukai dalam satu serbuan di sebuah rumah tanpa penghuni di Kampung Bendang Kerian, Tumpat 5 Ogos lalu.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dr Veerinderjeet mengakui kerajaan tidak berdiam diri, namun menegaskan kaedah tradisional seperti menambah kakitangan kastam sahaja tidak memadai memandangkan sempadan negara yang begitu luas. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Isu rokok seludup memerlukan mekanisme yang lebih terancang dan menyeluruh bagi membendung kebocoran hasil serta mengurangkan defisit belanjawan negara.

Penasihat Kanan Dasar Cukai KPMG Malaysia, Dr Veerinderjeet berkata, keperluan ini semakin mendesak, terutamanya dalam persekitaran perdagangan global yang kian mencabar.

Advertisement

Menurutnya, negara dianggarkan kerugian kira-kira RM5 bilion setahun akibat cukai eksais yang tidak dapat dikutip dan merupakan satu jumlah yang amat ketara dalam konteks defisit belanjawan negara yang berlarutan.

“RM5 bilion itu besar. Tengok subsidi bahan api kita yang kini melambung ke RM7 bilion, kalau kita boleh mendapatkan semula hasil itu, ia sangat-sangat bermakna untuk negara,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia mengakui kerajaan tidak berdiam diri, namun menegaskan kaedah tradisional seperti menambah kakitangan kastam sahaja tidak memadai memandangkan sempadan negara yang begitu luas.

Image
Sumber: Astro AWANI
Kerajaan perlu memahami mengapa pengguna terus memilih produk seludup, bukan sekadar menumpukan kepada kutipan cukai, ujar Dr Veerinderjeet.

“Kita kena cari cara-cara baru untuk menangani masalah ini. Menjadikan kadar cukai sebagai instrumen dasar semata-mata adalah tidak tepat kerana cukai sendiri tidak akan menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Veerinderjeet berpendapat bahawa kerajaan perlu memahami mengapa pengguna terus memilih produk seludup, bukan sekadar menumpukan kepada kutipan cukai.

“Yang perlu difikirkan ialah mengapa pengguna masih terus membeli produk tersebut. Kadar gaji purata di Malaysia lebih kurang RM3,000 sebulan. Itu terlalu rendah dan mereka tidak mampu membeli produk yang mahal,” katanya.

Image
Sumber: Astro AWANI
Kadar perdagangan haram rokok pernah mencecah 63.8 peratus sewaktu pandemik COVID-19 pada tahun 2020, ujar Tarmizi.

Beliau menjelaskan bahawa selagi jurang harga antara rokok sah dan rokok seludup kekal besar, insentif untuk penyeludupan akan terus wujud.

Kehilangan hasil juga bukan terhad kepada cukai eksais sahaja kerana peniaga haram yang tidak melaporkan pendapatan turut bermakna kehilangan cukai pendapatan.

Sementara itu, Wakil Bersekutu Malaysia, Consumer Choice Centre, Tarmizi Anuwar berkata permintaan terhadap rokok seludup tidak pernah berkurang, malah semakin meningkat oleh kekangan struktur ekonomi.

“Walaupun kita kata ini pilihan yang rasional, ia sebenarnya bukan pilihan sebenar pengguna. Mereka terpaksa membeli pada harga yang lebih rendah kerana mereka tiada pilihan. Itu perkara yang paling jelas dan kritikal,” kata Tarmizi.

Menurutnya, kadar perdagangan haram rokok meningkat daripada sekitar 38.2 peratus pada 2015 kepada 56.6 peratus pada tahun berikutnya susulan kenaikan cukai antara 43 hingga 45 peratus, malah pernah mencecah 63.8 peratus sewaktu pandemik COVID-19 pada tahun 2020.

Image
Sumber: Astro AWANI
Pilihan perokok terhadap produk dagangan haram ini dipengaruhi oleh beberapa faktor, termasuk kedudukan kewangan, ujar Tarmizi.

“Dalam tempoh 10 tahun ini kita cuba kurangkan dari segi bilangan (peratusan kadar), tetapi kita gagal dapatkan penyelesaian secara konstruktif,” kata Tarmizi.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan agar kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diselaraskan melibatkan peringkat dasar dan undang-undang.

“Kita perlu mengekalkan konsistensi, jangan hanya melihat isu pada peringkat makro, kerana faktor di sempadan dalaman juga memberi kesan yang besar dan tidak boleh diabaikan,” katanya.

Jelasnya, pilihan perokok terhadap produk dagangan haram ini dipengaruhi oleh beberapa faktor, termasuk kedudukan kewangan seperti pendapatan yang rendah serta gaya hidup yang diamalkan.

“Disebabkan terpaksa membeli dengan harga kadar lebih rendah mereka tiada pilihan ini perkara yang paling jelas,” katanya lagi.

Kedua-dua panel berkata demikian dalam wawancara Agenda AWANI bertajuk Di Bawah Tekanan Global: Menangani Krisis Rokok Seludup Malaysia yang disiarkan, semalam.

Untuk rekod, laporan oleh NielsenIQ menunjukkan kadar rokok tidak sah di Malaysia berada sekitar 50 hingga 55 peratus, sekali gus mengakibatkan negara dianggarkan kerugian kira-kira RM5 bilion setahun daripada hasil cukai yang tidak dikutip.

Image
ROKOK SELUDUP, credit FB Tarmizi Anuwar
Tarmizi (kiri) dan Dr Veerinderjeet (tengah) hadir dalam wawancara Agenda AWANI bertajuk Di Bawah Tekanan Global: Menangani Krisis Rokok Seludup Malaysia yang disiarkan, semalam. Gambar Facebook Tarmizi Anuwar.

Must Watch Video