MALAYSIA
Rombakan Finas jamin peluang adil, hapuskan budaya "kartel" - Fahmi

Fahmi bercakap pada Majlis Pelancaran Kempen Malaysia, JomPACT! di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu Lembah Pantai hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Rombakan dalaman yang sedang dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), dijangka akan membuka ruang lebih adil dan telus bagi industri perfileman tempatan.
Ringkasan AI
- Finas sedang laksanakan rombakan dalaman bagi memastikan proses permohonan dan kelulusan projek filem lebih adil dan telus, sekali gus membendung amalan tidak sihat.
- Langkah ini susulan dakwaan wujud 'kartel' dalam industri filem tempatan, termasuk pengaruh terhadap slot tayangan, promosi dan pengedaran.
- Antara tindakan awal ialah rombakan jawatankuasa penilai permohonan untuk memastikan pengagihan peluang lebih saksama dan menghapuskan budaya lama yang tidak sihat.
Fahmi berkata beliau belum meneliti sepenuhnya kenyataan Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Datuk Afdlin Shauki, yang mendakwa terdapat kartel dalam industri perfilemen tanah air, namun menyatakan semangat untuk menangani isu tersebut yang juga keutamaan kementerian.
Pada Khamis lepas, sebuah portal berita melaporkan Afdlin mendakwa wujud "tangan ghaib" atau kartel yang menentukan kejayaan sesebuah filem tempatan termasuk dari aspek slot tayangan utama, promosi dan pengedaran.
Afdlin menyifatkan keadaan itu menyebabkan pembikin filem seperti berjudi dengan nasib, kerana kualiti karya tidak lagi menjadi penentu utama.
Fahmi berkata antara tindakan awal diambil termasuk mengarahkan Finas merombak sepenuhnya keanggotaan jawatankuasa yang meneliti permohonan dalam industri filem beberapa bulan lepas, bertujuan memastikan pengagihan peluang dilakukan secara lebih saksama.
"Banyak organisasi bila mungkin personel, individu, pegawai tertentu telah terlalu lama di satu-satu kedudukan sering kali terbentuk sikap-sikap yang mungkin tidak begitu disenangi oleh industri, bukan sekadar filem, sama juga dengan pelbagai sektor lain.
"Jadi itu sebab antara lain saya telah minta beberapa bulan yang lepas supaya jawatankuasa contohnya yang meneliti permohonan itu dirombak sepenuhnya. Jadi proses pembersihan itu sebenarnya sedang berjalan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami