Skip to main content

Malaysia

Roscongress sedia perluas kerjasama kesihatan, pelancongan perubatan dengan Malaysia

 Timbalan Pengarah Pembangunan Pertama Yayasan Roscongress, Anastasia Stolkova
Anastasia Stolkova berkata, hubungan kerjasama antara Roscongress dan Malaysia telah pun terjalin menerusi beberapa program dan acara bersama sebelum ini. - Gambar Astro AWANI

ST. PETERSBURG: Yayasan Roscongress Rusia menyatakan kesediaannya untuk memperluaskan kerjasama dengan Malaysia dalam sektor kesihatan, termasuk eksport farmaseutikal inovatif, pelancongan perubatan serta pertukaran kepakaran antara kedua-dua negara.

Timbalan Pengarah Pembangunan Pertama Yayasan Roscongress, Anastasia Stolkova berkata, hubungan kerjasama antara Roscongress dan Malaysia telah pun terjalin menerusi beberapa program dan acara bersama sebelum ini.

“Kami di Roscongress telah aktif bekerjasama dengan Malaysia dan telah menganjurkan beberapa acara bersama. 

"Kami terbuka untuk meneruskan perbincangan bagi memperkukuhkan lagi kerjasama ini,” katanya kepada Astro AWANI di luar acara St. Petersburg International Economic Forum 2026 (SPIEF), di sini.

Menurut beliau, antara bidang yang menjadi fokus utama ialah eksport ubat-ubatan inovatif yang dibangunkan di Rusia.

Katanya, produk farmaseutikal Rusia kini semakin kompetitif di peringkat antarabangsa, bukan sahaja dari segi kualiti tetapi juga harga yang lebih menarik berbanding banyak pasaran lain.

“Rusia mempunyai ubat-ubatan inovatif yang sangat kompetitif dan pada masa yang sama lebih menarik dari segi kos. Kami bersedia berkongsi maklumat serta membantu proses pendaftaran produk-produk ini sekiranya terdapat minat daripada pihak Malaysia,” jelasnya.

Selain farmaseutikal, Stolkova berkata, Rusia turut melihat potensi besar dalam kerjasama pelancongan perubatan dengan Malaysia.

Beliau menegaskan, perkhidmatan kesihatan di Rusia kini menawarkan standard yang kompetitif di peringkat global, dengan kos rawatan yang jauh lebih rendah berbanding kebanyakan negara Eropah.

“Kualiti perkhidmatan perubatan yang kami tawarkan adalah setanding di peringkat antarabangsa, namun pada kos yang jauh lebih berpatutan. 

"Kami bersedia menerima rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan rawatan di Rusia serta memperkenalkan pelbagai kemudahan perubatan yang tersedia,” katanya.

Tambah beliau, Roscongress juga berminat memperkukuhkan hubungan melalui pertukaran pakar, penyelidik dan profesional kesihatan bagi membolehkan kedua-dua negara berkongsi pengalaman serta pengetahuan dalam bidang perubatan dan penjagaan kesihatan.

“Kami sentiasa mengalu-alukan kehadiran delegasi dari Malaysia untuk meneroka peluang dalam pelancongan perubatan dan kerjasama farmaseutikal. Pertukaran kepakaran dan ilmu pengetahuan juga merupakan antara keutamaan kami,” katanya.

Forum SPIEF 2026 yang berlangsung di Saint Petersburg menghimpunkan pemimpin kerajaan, pemain industri dan pelabur dari pelbagai negara bagi membincangkan isu ekonomi, perdagangan, teknologi dan pembangunan global.

Must Watch Video

Advertisement