Datuk Rizal Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau berpandangan warga perkhidmatan awam takut kepada Datin Seri Rosmah Mansor yang dilihat sebagai isteri perdana menteri yang garang dan boleh mempengaruhi perdana menteri untuk mengambil tindakan terhadap mereka.
Bekas pegawai khas Rosmah itu berkata beliau berpandangan sedemikian berdasarkan pengalamannya bekerja bersama warga perkhidmatan awam sejak dilantik secara kontrak pada tahun 2009.
“Dalam pandangan warga perkhidmatan awam, Datin Seri Rosmah berkebolehan untuk mempengaruhi perdana Menteri untuk memindahkan pegawai-pegawai kerajaan, yang menentang atau mengingkari permintaan beliau, ke jawatan yang kurang penting atau dalam istilah biasa dalam kalangan penjawat awam iaitu jawatan ‘peti sejuk’ atau dipindahkan jauh dari tempat mereka bermastautin.
“Selain itu, saya juga mendapati Datin Seri Rosmah mempunyai pengaruh yang besar di dalam jentera pentadbiran kerajaan apabila agensi-agensi dan pegawai-pegawai kerajaan sentiasa berasa keberatan untuk menolak kehendak dan permintaan Bahagian F.L.O.M (First Lady of Malaysia) dan Datin Seri Rosmah.
“Pegawai-pegawai kerajaan sentiasa cuba untuk memuaskan dan memenangi hati Datin Seri Rosmah, segala permintaan dan kehendak Datin Seri Rosmah akan diusahakan sedaya-upaya oleh mereka sehingga berjaya,” katanya ketika membacakan penyataan saksi pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.
Rizal,46, yang merupakan saksi penting pihak pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes isteri bekas perdana menteri itu yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada bekas pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.
Menurut saksi pihak pendakwaan ke-21 itu, beliau berpandangan pada ketika itu, segala fakta tersebut adalah tidak tepat dan hanya khabar angin yang disebarkan bertujuan untuk memburukkan imej serta reputasi Rosmah dalam kalangan penjawat awam.
“Sebagai pegawai khas kepada Datin Seri Rosmah, saya sentiasa akan mempertahankan imej beliau kepada mereka ini,” katanya.
Beliau juga berkata sebagai seorang yang rapat dengan ketuanya, beliau juga selalu menyaksikan komunikasi Rosmah dengan suami beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan sepanjang pengalaman bersama mereka beliau mengesahkan Najib sangat menghormati pandangan isterinya.
Terdahulu, Rizal berkata pada 1 Mei 2009 sehingga Mei 2018, beliau bertugas di Bahagian F.L.O.M yang ditubuhkan selepas Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam pada awal April 2009, dan bahagian itu yang kemudian ditukarkan namanya kepada Bahagian Khas, secara rasmi ditugaskan untuk menguruskan aktiviti-aktiviti harian rasmi dan tidak rasmi Rosmah.
Saksi itu berkata, sepanjang kerjayanya di Bahagian F.L.O.M, beliau mendapati agensi-agensi kerajaan sangat menghormati dan menggeruni bahagian tersebut kerana gandingan kedudukan serta reputasi Rosmah dan Pengarah Bahagian F.L.O.M ketika itu, Datuk Seri Azizah Abod yang merupakan kenalan lama Rosmah sejak zaman universiti, selain segala permintaan daripada bahagian itu akan dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan dengan cepat dan secara responsif tanpa dibebani kerenah birokrasi.
Menurut Rizal, pada 2012 beliau telah menubuhkan pasukan cybertroopers atas arahan Rosmah yang ditugaskan untuk memantau kandungan media sosial yang kritikal atau memberi persepsi negatif terhadap Rosmah selain perlu menangkis dan memberi penjelasan ke atas setiap fitnah, tohmahan dan tuduhan terhadap Rosmah kepada orang ramai.
“Pasukan cybertroopers ini beroperasi dengan dana yang diberikan oleh Datin Seri Rosmah sendiri di mana beliau memberikan kepada saya wang tunai RM100,000 setiap bulan untuk membiayai pasukan tersebut. Saya sendiri di dalam kapasiti saya sebagai pegawai khas bertanggungjawab untuk menangkis fitnah, tohmahan dan tuduhan terhadap Datin Seri Rosmah dan ini saya lakukan melalui akaun Facebook saya sendiri serta kenyataan media yang saya keluarkan,” katanya.
Menurut Rizal, setiap hari terdapat berita-berita negatif melibatkan integriti dan kedudukan Rosmah sebagai isteri perdana menteri terutamanya di media sosial, dan disebabkan itu pejabat Perdana Menteri pernah menasihatkan Bahagian F.L.O.M termasuk beliau untuk mengurangkan publisiti Rosmah dalam media massa dan semasa musim Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013, saksi itu juga banyak ditugaskan untuk memberi ceramah penjelasan isu semasa berkaitan Rosmah dalam kempen pilihan raya Barisan Nasional untuk menjernihkan persepsi pengundi-pengundi terhadap Rosmah.
Saksi itu juga berkata, hubungan beliau dan Rosmah yang semakin akrab menyebabkan isteri bekas perdana menteri itu mula mempercayainya dengan tugas-tugas lebih sulit dan lebih peribadi, antaranya beliau beberapa kali diarahkan untuk menguruskan kutipan dana atau sumbangan yang mahu diberikan kepada Rosmah secara peribadi oleh individu-individu tertentu.
Dalam pengetahuannya, Rizal berkata, ada beberapa usahawan atau kontraktor yang telah berjaya mendapatkan projek kerajaan setelah mereka dibantu oleh Rosmah dan pada kebiasaannya usahawan atau kontraktor itu akan memberi sesuatu hadiah termasuk wang tunai kepada Rosmah sebagai tanda penghargaan kerana telah membantu mereka.
“Setelah mendapat kepercayaan daripada Datin Seri Rosmah, saya telah mula ditugaskan oleh beliau untuk menerima hadiah-hadiah bagi pihak beliau termasuk wang tunai yang ingin disampaikan kepada beliau daripada usahawan dan kontraktor tersebut.
"Oleh kerana pemberian ini kesemuanya adalah atas dasar 'sumbangan politik', saya tidak pernah menganggap ia akan menjadi satu kesalahan untuk saya menerimanya bagi pihak beliau," katanya.
Mengikut pertuduhan, Rosmah didakwa menerima suapan menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Isnin.
-- BERNAMA
Bernama
Wed Sep 09 2020
Agensi-agensi dan pegawai-pegawai kerajaan sentiasa berasa keberatan untuk menolak kehendak dan permintaan Bahagian F.L.O.M (First Lady of Malaysia) dan Datin Seri Rosmah. - Gambar fail
Tindakan SAPP taktik tuntut lebih banyak kerusi - Ronald
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee berharap Parti Maju Sabah (SAPP) yang mengumumkan keluar komponen itu, tidak lagi bergantung kelangsungannya dengan menjadi ADUN dilantik.
Mengingatkan pelantikan Presidennya Datuk Seri Yong Teck Lee ke jawatan itu atas ihsan PN pada 2020, Kiandee berharap agar Yong Teck berfikir semula sebelum menyatakan PN tidak wajar bertanding dalam PRN Sabah nanti.
Mengingatkan pelantikan Presidennya Datuk Seri Yong Teck Lee ke jawatan itu atas ihsan PN pada 2020, Kiandee berharap agar Yong Teck berfikir semula sebelum menyatakan PN tidak wajar bertanding dalam PRN Sabah nanti.
Pindaan Perlembagaan lebih inklusif, adil kepada semua pihak
Pindaan Perlembagaan PKR yang memberi peluang keterlibatan sama rata dalam proses pemilihan parti dilihat lebih inklusif dan adil kepada semua pihak.
Pindaan perlembagaan parti iltizam luaskan peranan wanita
Ketua Wanita Pusat PKR, Fadhlina Sidek menyambut baik pindaan perlembagaan PKR melibatkan fasa 17.2, 17.2A dan 17.2B yang dilluluskan dalam Kongres Khas parti itu pada Ahad.
PKR tingkat jumlah perwakilan bagi 6 jawatan tertinggi parti
PKR meminda Perlembagaannya dengan meningkatkan jumlah perwakilan yang akan mengundi bagi enam jawatan tertinggi parti serta 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
UMNO tidak terima, benar ahli lompat parti - Asyraf Wajdi
UMNO menegaskan tidak menerima atau membenarkan mana-mana ahli parti melakukan tindakan lompat parti, termasuk dalam Kerajaan Perpaduan.
Final Jelajah Dunia BWF: Tang Jie-Ee Wei naib juara, bawa pulang RM445,000
Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bergelar naib juara selepas tewas kepada pilihan kelapan kejohanan, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong pada final Jelajah Dunia BWF.
Lelaki maut kereta terbalik, jatuh cerun di kawasan perumahan
Seorang lelaki maut, manakala seorang wanita warga emas cedera parah selepas kenderaan dinaiki hilang kawalan sebelum terbalik dan jatuh ke cerun bukit.
Pindaan perlembagaan PKR: Buka ruang lebih ramai ahli memilih pimpinan tertinggi parti - Fahmi
Pindaan perlembagaan PKR berhubung proses pemilihan parti yang diluluskan hari ini membolehkan lebih ramai ahli daripada pelbagai latar belakang terlibat dalam proses pemilihan kepimpinan tertinggi.
Perkenal kuota etnik, wanita dalam perwakilan parti langkah berani PKR - Saraswathy
Saraswathy berkata, ia mencerminkan komitmen PKR dalam memastikan keadilan sosial serta kesaksamaan dalam sistem politik negara.
ISN fokus R&D sukan berpotensi menjelang Olimpik LA 2028
Untuk Olimpik LA2028, ISN telah diberi sejumlah peruntukan bagi melihat cara untuk memperkasa lagi R&D untuk prestasi atlet.
Rosmah dilihat sebagai isteri PM yang garang, boleh pengaruhi PM - Rizal Mansor
Rizal berpandangan sedemikian berdasarkan pengalamannya bekerja bersama warga perkhidmatan awam sejak dilantik secara kontrak pada tahun 2009.