KUALA LUMPUR: Selepas menarik diri daripada mendengar dua kes saman oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap beberapa pihak, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain hari ini menarik diri daripada mendengar kes saman SRC International Sdn Bhd terhadap UMNO.

Pada Mei tahun lepas, SRC International, yang merupakan anak syarikat 1MDB, di bawah pengurusan baharunya telah memfailkan saman itu bersama anak syarikatnya iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd, bagi menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada parti politik itu.

Peguam Syafinaz Vani yang mewakili SRC International selaku plaintif berkata kes itu akan dipindahkan ke mahkamah lain dan didengar Hakim Datuk Azimah Omar.

"Pihak kami (plaintif) tidak membantah permohonan defendan (UMNO) untuk meminda pernyataan pembelaan dan kami akan memfailkan jawapan pindaan jika perlu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes yang berlangsung secara dalam talian di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Nuur Fatimahtul Zuhra Khairuddin yang turut disertai peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff mewakili UMNO.

Difahamkan Roz Mawar sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pendakwaan dan Penguatkuasaan Sivil Suruhanjaya Sekuriti Malaysia iaitu antara agensi yang terlibat dalam siasatan 1MDB.

Dalam tuntutan saman, plaintif mendakwa UMNO mengetahui bahawa wang RM16 juta itu adalah milik SRC International dan parti politik itu tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.

Pada 10 Mei 2021, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd telah memfailkan 22 saman bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

Menurut kementerian itu, writ saman difailkan pada 7 Mei 2021 iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.

Sebelum ini, Roz Mawar menarik diri daripada mendengar kes saman 1MDB terhadap bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy yang menuntut mereka membayar AS$6.59 bilion.

Beliau kemudian menarik daripada mendengar kes saman difailkan 1MDB terhadap Deutsche Bank (Malaysia) Bhd; syarikat perbankan Coutts & Co Ltd dan J.P. Morgan (Switzerland) Ltd; dua syarikat yang diperbadankan di Arab Saudi iaitu Petrosaudi International Limited dan Petrosaudi Holdings (Cayman) Limited, serta dua individu masing-masing warga Arab Saudi, Tarek Obaid dan warga Britain Patrick Mahony.

-- BERNAMA