Ruang untuk pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang diluluskan di Parlimen pada minggu lalu masih ada dan sentiasa terbuka demi keselamatan rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan begitu terbuka dengan setiap cadangan dan usaha untuk meminda akta tersebut.

“Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 bukanlah suatu undang-undang yang ‘rigid’ dan ianya masih boleh dipinda berdasarkan ‘input’ atau elemen yang diperoleh dari pihak Majlis Peguam, Badan-badan bukan kerajaan (NGO) atau individu-individu demi memperkukuhkan tindakan pencegahan dan pembanterasan jenayah,” katanya dalam satu temubual bersama Astro AWANI petang Khamis.

Menurutnya lagi, terdapat 10 undang-undang lain yang akan dipinda selari dengan akta tersebut dan jika terdapat sebarang elemen yang boleh dijadikan sebagai 'input' untuk pindaan tersebut, maka kerajaan terbuka dan bersedia menerima pandangan-pandangan itu.

“Penyelarasan dan pindaan terhadap akta ini boleh dilakukan sebelum persidangan Parlimen yang akan datang seiring dengan pembentangan Belanjawan 2014 kelak,” kata beliau.

Malah ketika perbahasan sidang Parlimen baru-baru ini juga, Zahid menerima pelbagai pandangan dari ahli-ahli Parlimen terutama yang mempunyai latar belakang sebagai pengamal undang-undang.

“Saya amat meraikan pandangan tersebut dan semua pandangan tersebut perlu diambil kira jika akta ini mahu disesuaikan dengan aspek perundangan yang dilontarkan oleh mereka ini,” katanya lagi.

Dewan Negara pada Khamis meluluskan Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, yang dibahaskan sejak Rabu.

Rang undang-undang bagi meminda PCA 1959, yang telah diluluskan di Dewan Rakyat, digubal kerana adanya keperluan bagi mengekang aktiviti jenayah berat dan jenayah terancang yang begitu meningkat.

Dalam akta tersebut, terdapat klausa-klausa yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan bagi tujuan ketenteraman awam, keselamatan awam atau pencegahan jenayah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang menggulung perbahasan rang undang-undang tersebut di peringkat dasar, memberi jaminan bahawa pindaan PCA tidak sesekali digunakan terhadap musuh politik atau pihak yang berbeza pendapat.