Pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu merujuk kepada kerajaan dalam sebarang isu penyelesaian melibatkan sensitiviti agama.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, mengeluarkan pendapat di hadapan khalayak ramai bukanlah cara penyelesaian dalam PH.

"Apa yang harus kita ingat kita adalah parti perbagai kaum dan sensitiviti masing-masing kaum mestilah dijaga.

"Kita jangan menyakiti hati mana-mana kaum dengan membuat teguran dan keluarkan kata kesat terhadap kaum-kaum yang lain, atau penganut agama lain," katanya semasa berucap pada Sesi Pemukiman Kerajaan Negeri Johor bersama kepimpinan Kerajaan Persekutuan di sini, pada Khamis.


Akhir-akhir ini, perbuatan menghina Islam dan Nabi Muhammad dikatakan semakin berani dibuat sesetengah pihak sehingga mengguris perasaan bahkan menyemarakkan kemarahan umat Islam di negara ini.

BACA: Ambil tindakan tegas mereka yang hina agama - Anwar

BACA: Polis tahan warga emas disyaki hina Rasulullah SAW

Minggu lalu, warga emas Foo Sin Wai, 68, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Saidatina Aishah dengan memuat naik karikatur berunsur penghinaan di laman akaun Facebook miliknya.

Selain itu pada Selasa, seorang operator kilang , A. Taneson, 22, turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam kerana bertindak biadab serta kurang ajar dengan menghina Nabi Muhammad SAW.

Dalam pada itu kata Dr Mahathir, PH turut berdepan kemungkinan kekalahan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang jika tidak menjaga hubungan baik sesama mereka.