Kediaman bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah di Putrajaya dipercayai digeledah sekitar jam 4 petang tadi.

Sumber memaklumkan Astro AWANI, operasi dijalankan ketika beliau diambil keterangan berhubung isu pecah amanah melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya petang tadi.

Namun, sumber enggan mendedahkan apa barangan yang dirampas dari kediaman Mohd Irwan.

Hari ini, SPRM telah mendakwa Mohd Irwan, 61 tahun, dengan beberapa tuduhan berhubung siasatan kes pecah amanah yang telah dilakukan melibatkan wang milik kerajaan.

Mohd Irwan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 7.30 pagi esok. Malam ini, beliau akan bermalam di lokap SPRM di Putrajaya.

BACA: Najib, Irwan Serigar, Hasanah didakwa kes pecah amanah esok - SPRM

Dua lagi individu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut didakwa oleh SPRM dengan tuduhan yang sama dan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok pada waktu yang sama.

Bekas Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasanah Ab Hamid berhubung kes pecah amanah melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia turut didakwa dan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada esok dan mengikut seksyen yang sama.