Skip to main content

Malaysia

Rumah peguam Haniff Khatri terbakar

https://www.sinarharian.com.my/article/796373/berita/semasa/rumah-peguam-haniff-khatri-terbakar
Tiga rumah teres termasuk kediaman milik peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla di Bandar Country Homes terbakar pada Selasa.
Advertisement

GOMBAK: Tiga rumah teres termasuk kediaman milik peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla di Bandar Country Homes di sini terbakar pada Selasa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.06 pagi.

"Seramai 15 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang serta bantuan BBP Batu Arang bersama jentera digerakkan ke lokasi yang jaraknya sejauh lapan kilometer," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ashrul Riezal berkata, pihak bomba tiba di lokasi pada jam 3.17 pagi mendapati kebakaran melibatkan bahagian atas tiga rumah teres semi-D dua tingkat.

"Anggaran kemusnahan akibat kebakaran membabitkan rumah pertama sebanyak 80 peratus, rumah kedua 20 peratus dan rumah ketiga lima peratus," katanya.

Beliau berkata, kebakaran turut memusnahkan kira-kira 90 peratus sebuah kereta jenis Perodua Axia.

"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan. Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 4.08 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.35 pagi," ujarnya.

Sementara itu, Mohamed Haniff ketika dihubungi berkata, kebakaran dipercayai bermula di bahagian ruang tamu di tingkat atas rumah, namun puncanya masih belum diketahui.

“Saya bersama isteri dan dua orang anak berada di rumah ketika kejadian. Saya berada di bawah sedang menonton televisyen dan tidur di bawah malam tadi, manakala dua anak saya berada di tingkat atas.

“Anak perempuan saya keluar dari bilik untuk minum air sebelum ternampak kebakaran lalu menjerit memanggil saya,” katanya.

Mohamed Haniff berkata, sebaik sahaja menyedari kejadian itu, beliau bergegas ke tingkat atas dan cuba memadamkan api menggunakan air, namun usaha berkenaan tidak berhasil.

“Bahang dan asap sudah masuk ke dada, jadi saya terus kejutkan anak lelaki saya supaya keluar dari rumah, sebelum menghubungi bomba,” katanya.

Menurutnya, tindakan pantas anggota bomba membantu memastikan dia bersama isteri dan dua anaknya selamat daripada kejadian berkenaan.

“Saya memang terharu tengok usaha bomba. Memang bagus dan cukup cekap.

“Alhamdulillah, secara fizikal kami berempat selamat, tetapi bahagian atas rumah memang sudah tiada apa-apa, semua barang lebur,” katanya. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement