HAMBURG (JERMAN): Menjelang pertembungan penuh emosi antara dua beradik Götze dalam saingan Bundesliga, Mario menzahirkan rasa kesal apabila Felix sekian lama hanya dipandang sebagai "adik kepada Juara Piala Dunia," lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Ia bukan sesuatu yang mudah buat ibu bapa dan saudara lelaki saya kerana mereka sering dikaitkan di mana-mana sahaja dengan perkara di luar kawalan mereka," kata pemenang Piala Dunia 2014 dan penjaring gol kemenangan Jerman itu kepada akhbar mingguan Sport Bild pada Rabu.
"Kini sudah 12 tahun berlalu. Dia telah berjaya, dari segi fizikal dan mental, membina laluannya sendiri. Dan itu adalah sesuatu yang amat baik," katanya mengenai adiknya itu.
Pada Sabtu, Paderborn yang diwakili Felix akan melayan kunjungan pasukan Mario, Eintracht Frankfurt. Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama mereka berentap di atas padang, sebaliknya pertembungan kali ketiga. Pada musim 2018-2019, kedua-duanya pernah bertemu ketika Mario mewakili Borussia Dortmund dan Felix bersama Augsburg.
Felix Götze berkata: “Sebagai adik, saya sering diusik dari semasa ke semasa. Namun, anda belajar untuk berdikari dan mempertahankan diri. Itu memberikan kebaikan kepada saya. Mungkin itulah sebabnya saya berjaya sampai ke tahap ini.”
Kerjaya kedua-dua pemain ini berkembang dalam laluan yang sangat berbeza. Mario membantu Jerman menjulang kejuaraan Piala Dunia 2014 menerusi jaringan tunggalnya yang membawa kepada kemenangan 1-0 ke atas Argentina. Bersama Borussia Dortmund dan Bayern Munich, beliau telah memenangi Bundesliga sebanyak lima kali serta meraih empat gelaran Juara Piala Jerman (DFB-Pokal).
Sementara itu, Felix beraksi bersama skuad remaja Borussia Dortmund dan Bayern Munich. Selepas berkelana di Augsburg, Kaiserslautern dan Rot-Weiss Essen, beliau akhirnya menyertai Paderborn, yang berjaya meraih “kenaikan pangkat” ke Bundesliga pada musim lepas.
-- BERNAMA-dpa