LIPIS: Hanya sempat selamatkan pam racun dan mesin 'chainsaw'. Itu yang berlaku kepada lima beranak di Kampung Bukit Betong, Jelai di sini apabila rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang mereka diami musnah dalam kejadian kebakaran malam Ahad.

Dalam kejadian pada jam 7.58 malam itu juga turut menggemparkan sebilangan penduduk yang baharu sahaja menunaikan solat Maghrib di masjid termasuk jiran berdekatan.

Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Betong, Badra Isa Abd Hamid berkata, kebakaran rumah PPRT milik Muhamad Azli Ahmad, 42, dipercayai bermula di bahagian syiling rumah itu.

"Kita bersyukur ketika kejadian ini, dia (Muhamad Azli) dan isterinya yang berusia 40 tahun serta tiga orang anak mereka terselamat tanpa mengalami apa-apa kecederaan.

"Keluarga ini tinggal sehelai sepinggang apabila keseluruhan rumah PPRT ini musnah dijilat api, manakala mangsa hanya dapat membawa keluar sebuah pam racun dan mesin 'chainsaw' dalam kejadian ini," katanya.

Anggota bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Kuala Lipis dan Sungai Koyan sedang memadamkan api rumah PPRT milik Muhamad Azli Ahmad dalam kejadian kebakaran di Kampung Bukit Betong, Lipis. - Foto ihsan JBPM

Jelasnya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah memberikan bantuan awal kepada keluarga mangsa ini selepas kejadian dan mereka kini tinggal menumpang buat sementara di rumah ibu bapa di Bukit Betong.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Kuala Lipis, Haslizan Ramli berkata, seramai 11 orang anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis serta bantuan BBP Sungai Koyan bersama dua buah jentera pemadam LFRT dan sebuah ambulans EMRS telah berkejar ke lokasi setelah menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai.

"Ketika tiba di lokasi, kita mendapati sebuah rumah terbakar dan anggota bomba melakukan penugasan pemadaman dengan menggunakan dua aliran hos daripada tangki pam jentera.

"Kebakaran ini turut memusnahkan 100 peratus kediaman tersebut. Bagaimanapun penghuni kediaman ini selamat tanpa mengalami apa-apa kecederaan dalam kejadian ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba berjaya memadamkan api keseluruhannya dan seterusnya melakukan tugasan pemantauan keselamatan sebelum bergerak pulang ke BBP Kuala Lipis dan BBP Sungai Koyan.

"Punca kebakaran dan jumlah taksiran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Haslizan selanjutnya menasihatkan semua pemilik kediaman supaya memberikan tumpuan ketika memasak dan elakkan ke dapur sekiranya keadaan badan letih dan mengantuk.

"Keadaan dapur perlu bersih dan tanpa berminyak selain memastikan peralatan elektrik diperiksa dan ditutup selepas digunakan.

"Ibu bapa juga perlu mengawasi anak masing-masing ketika bermain bunga api kerana sekiranya tanpa kawalan boleh mengundang kebakaran kediaman," katanya.