Skip to main content

Malaysia

Rumah terbakar, persiapan Aidilfitri dua keluarga musnah

https://www.sinarharian.com.my/article/772170/berita/semasa/rumah-terbakar-persiapan-aidilfitri-dua-keluarga-musnah
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada jam 11.41 pagi mengenai kebakaran itu. - Sinar Harian

JOHOR BAHRU: Persiapan menyambut Aidilfitri bagi dua keluarga musnah selepas kediaman mereka hangus dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Plentong Baru, Masai, di sini, pagi Selasa.

Mangsa, Siti Robaizura Ibrahim, 32, berkata, kebakaran disedari suaminya, Muhammad Hazin Batrun, 32, sekitar jam 11.15 pagi apabila dinding rumah terasa panas ketika mahu ke tandas, yang pada ketika itu dia dan anak mereka, Nur Raisha Humaira, 10, sedang tidur.

Advertisement

"Suami intai di tingkap dan ternampak api marak di rumah jiran belakang kami. Dia menjerit dan kami terus lari keluar. Mujur dia sedar lebih awal kerana kalau tidak kami tak tahu apa nasib kami,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian.

Selain kediamannya, api yang merebak dengan pantas turut memusnahkan rumah kakaknya, Siti Rozana, 43, yang bersebelahan serta sebuah rumah jiran. 

Siti Robaizura berkata, semua persiapan Aidilfitri seperti pakaian, kuih, dan duit raya sebanyak RM2,000 hangus sekelip mata.

"Kami cuma sempat selamatkan tiga kereta dan terpaksa pecahkan cermin Perodua Viva kerana kunci tertinggal dalam rumah. Tong gas pun sempat dikeluarkan bagi mengelakkan letupan,” katanya.

Siti Robaizura berkata, mereka sekeluarga kini ditempatkan sementara di Dewan Permas di sini, dan berharap ada pihak yang prihatin tampil menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Siti Rozana berkata, kejadian tersebut merupakan yang pertama dialami sejak lebih 30 tahun menetap di kampung itu.

"Anak sulung saya, Mohamad Fazrieq Danish, 18, meraung melihat kediaman kami musnah manakala adiknya, Mohamad Fazriel Dris, 17, trauma apabila pulang dari sekolah mendapati rumah hangus bersama buku dan kelengkapan sekolahnya,” katanya sambil menyataka semua persiapan Aidilfitri berjumlah RM3,000 turut musnah.

Dalam pada itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada jam 11.41 pagi mengenai kebakaran berhampiran Surau Lot 109, Lorong 8, Jalan Masjid.

Pasukan bomba yang tiba lima minit kemudian mendapati tiga rumah separuh kekal terbakar dan operasi pemadaman melibatkan beberapa aliran pancutan air serta jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, FRT BBP Pasir Gudang dan Pasukan Bomba Sukarela Mount Austin.

Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan punca kebakaran masih dalam siasatan. 

-- BERNAMA

Must Watch Video