Skip to main content

Malaysia

Rumah Warisan Uwan Robah (RuWUR), khazanah yang diselamatkan

RUMAH UWAN ROBAH, PRN, uwan robah, negeri sembilan  Foto Astro AWANI
Pemegang Amanah Rumah Warisan Uwan Robah (RuWUR), Mohd Yunus dan isterinya, Kamsiah Minhad yang merupakan cucu kepada Uwan Robah di hadapan RuWUR. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA PILAH: Sebuah rumah pusaka yang pernah terbiar hampir 30 tahun tanpa penghuni, kini kembali menjadi nadi warisan masyarakat setempat apabila Rumah Warisan Uwan Robah (RuWUR) diberi nafas baharu sebagai ruang ilmu, budaya dan penghubung antara generasi.

Rumah warisan yang menjadi cerminan seni bina tradisional Negeri Sembilan itu dihidupkan semula selepas timbul kesedaran dalam kalangan waris untuk memulihara peninggalan berharga berkenaan.

Pemegang Amanah Rumah Warisan Uwan Robah (RuWUR), Mohd Yunus Aminuddin berkata usaha pemuliharaan rumah itu dilaksanakan hasil kesedaran dalam kalangan waris.

“Memang ikut sejarahnya, rumah ini terbiar selama 30 tahun, tetapi tiba saat di mana kita timbul kesedaran untuk nak berbuat sesuatu tentang rumah ini.

“Jadi, bila hasrat itu timbul, maka langsung Allah memudahkan kerja kita termasuk mendapatkan orang untuk perbaiki rumah, mendapatkan jentera yang digunakan untuk tujuan pembersihan kawasan dan semuanya ni dipermudahkan.

“Alhamdulillah, dalam masa 15 bulan, rumah yang terbiar 30 tahun itu dapat dihuni semula,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, usaha pemuliharaan itu bukan sahaja digerakkan oleh waris, malah mendapat sokongan beberapa pihak termasuk komuniti setempat, agensi berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sebenarnya, kita bersyukur kerana inisiatif ini bukan digerakkan oleh kami sahaja malah terdapat tiga hingga empat pihak yang memainkan peranan, termasuk Luak Terachi, Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan beberapa NGO.

“Semua pihak ini berhasrat menjadikan tempat ini sebagai lokasi yang berpotensi untuk pelancongan, aktiviti alam sekitar serta warisan budaya dan untuk itu kami sentiasa bersedia, asalkan usaha ini dapat menjadi sumber ilmu kepada generasi akan datang,” katanya.

Selain menjadi simbol identiti budaya tempatan, rumah berkenaan turut berfungsi sebagai tempat masyarakat mengenali sistem sosial Adat Perpatih di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Gedang, Md Azhar Abd Rahman berkata, Rumah Warisan Uwan Robah sering dimanfaatkan masyarakat kampung sebagai lokasi pelbagai aktiviti kemasyarakatan, adat dan program melibatkan pelajar sekolah.

“Pandangan saya mengenai Rumah Warisan Uwan Robah ini memang sangat berguna, memang sangat selalu digunakan oleh masyarakat kampung untuk membuat aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, kemudian aktiviti-aktiviti adat dan program budak-budak sekolah,” katanya.

Beliau turut menggalakkan lebih banyak agensi serta NGO dari luar kawasan kampung menganjurkan program di RuWUR bagi mempromosikan kampung berkenaan kepada masyarakat.

RuWUR membuktikan nilai sesebuah rumah lama tidak semestinya lenyap ditelan zaman, sebaliknya mampu terus hidup sebagai aset budaya apabila dipelihara dan dimanfaatkan untuk masyarakat.

Rumah pusaka yang dibina tanpa menggunakan sebarang paku itu dianggarkan berusia lebih 100 tahun dan terletak di Lot 1114, Kampung Tanjung Limau Purut, Terachi.

Rumah warisan itu mula dibina sekitar tahun 1900 oleh sepasang suami isteri, Zainal dan Uwan Robah.

Selepas Uwan Robah meninggal dunia pada tahun 1950, rumah tersebut diwarisi oleh anak perempuan sulungnya, Ramlah.

Apabila Ramlah meninggal dunia pada tahun 1994, rumah itu diwarisi Kamsiah Minhad yang merupakan isteri kepada Mohd Yunus daripada generasi ketiga Uwan Robah sehingga kini.

Selepas kerja-kerja baik pulih selesai, hasil kata sepakat dan persetujuan dalam kalangan anak cucu Uwan Robah, rumah pusaka itu dinamakan sebagai Rumah Warisan Uwan Robah (RuWUR). 
 

Must Watch Video

Advertisement