Malaysia akan melakukan yang terbaik, termasuk rundingan, bagi menangani isu pencerobohan sekumpulan warga Filipina di perairan negara di Lahad Datu, Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, keadaan di Lahad Datu, bahagian pantai timur Sabah terkawal dan yang penting kini adalah memastikan kumpulan berkenaan keluar dengan selamat ke selatan Filipina.

Menurut Perdana Menteri, adalah penting bagi kumpulan antara antara 80 dan 100 anggota itu "keluar" dengan selamat bagi mengelak pertumpahan darah.

"Ini yang kita nak kerana mereka ada juga saudara mara di sini jadi kita tidak mahu ada nyawa yang terkorban dan sebab itu kita minta mereka balik dengan cara yang baik,"

Najib berkata demikian selepas menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Padang Pekan Papar.

Pada Rabu lalu, pasukan keselamatan mengepung sekumpulan warga asing menyamar sebagai anggota tentera yang cuba menceroboh perairan negara di Lahad Datu.

Najib menambah, anggota polis kini merupakan bulatan pertama mengepung kawasan tersebut dan bulatan kedua terdiri daripada pasukan anggota tentera.

Ujarnya, pihak berkuasa juga sudah mengenal pasti kumpulan berkenaan dan rundingan masih dijalankan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak agar tidak membuat spekulasi mengenai insiden itu kerana ia dalam keadaan terkawal.