Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan nombor casis kereta yang ditemui di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister di sini sepadan dengan kereta milik penjual nasi, Lim Chin Aik.

Beliau berkata penemuan itu sekali gus merungkai laporan kehilangan seorang lelaki berusia 44 tahun sejak hari kejadian iaitu pada Khamis lepas.

"Polis buka kertas siasatan berdasarkan laporan orang hilang. Berdasarkan laporan yang dibuat isteri mangsa sehari selepas kejadian, kami dapati butiran yang diberikan sepadan dengan bukti-bukti yang ditemui," katanya kepada pemberita di lokasi malam Sabtu.

Isteri Lim, Lee Chai Song, 48, membuat laporan berhubung kehilangan suaminya pukul 3 petang Jumaat.

Lee berkata suaminya yang memandu kereta jenis Honda City berwarna kelabu keluar mengambil anak perempuan bongsu mereka dari Penang Chinese Girl's High School di Jalan Gottlieb kira-kira pukul 6.30 petang, Khamis lepas.

Abdul Rahim berkata mayat mangsa masih belum ditemui dan pasukan mencari dan menyelamat sedang bertungkus lumus menggali runtuhan.

Pasukan petugas kerja-kerja pembersihan lewat semalam menjumpai serpihan bangkai sebuah lagi kereta yang dipercayai tertimbus dalam lumpur.

Anggota Exco Kerajaan Negeri Phee Boon Poh berkata, beliau dimaklumkan serpihan sebahagian bangkai kereta Honda City itu dipercayai milik seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak hari kejadian.

Bagaimanapun setakat ini tiada mangsa yang terperangkap ditemui dan penemuan terbaharu itu membawa kepada sebanyak lapan buah kereta disahkan terhempap dalam runtuhan itu.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai ketika dihubungi berkata serpihan kereta itu dijumpai semasa kerja menggali dijalankan.

Tinjauan di tempat kejadian mendapati kerja-kerja menggali masih giat dijalankan dan jalan di sekitar kawasan kejadian masih ditutup.

Sementara itu, suasana di tempat kejadian menjadi gamat sebentar apabila salah seorang pekerja diselamatkan dari terjatuh ke dalam lumpur dipercayai akibat diserang penyakit sawan.

Lelaki itu diselamatkan oleh petugas-petugas lain dan telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Pada petang Khamis lepas, penebat kilat setinggi 20 meter yang terletak di atas Menara Umno di Jalan Macalister itu, runtuh berikutan angin kencang mengakibatkan jalan rosak selain menghempap beberapa kenderaan.

Insiden yang berlaku pada pukul 6.45 petang itu turut menyebabkan seorang lelaki pekerja asing maut selepas lori yang dinaikinya bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat berkenaan.

Sebanyak 293 buah rumah dilaporkan terjejas dipukul ribut kencang yang melanda negeri ini pada hari berkenaan - enam di daerah Seberang Perai Selatan, 125 di Seberang Perai Tengah, 12 Barat Daya, 94 di Seberang Perai Utara dan 56 di Daerah Timur Laut.