ST. PETERSBURG: Rusia berhasrat untuk memansuhkan keperluan visa bagi warga Malaysia, Indonesia dan Kuwait tahun ini, kata Pengarah Jabatan Kerjasama Ekonomi Pelbagai Hala dan Projek Khas di Kementerian Pembangunan Ekonomi Rusia, Nikita Kondratyev.
"Malaysia dan Indonesia adalah keutamaan utama untuk tahun ini. Kami juga menjangkakan Kuwait. Ini mungkin tiga negara yang kami mahu selesaikan proses rundingan tahun ini," kata Kondratyev dalam temu bual dengan Agensi Berita Rusia (TASS) di luar Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF).
Ketua jabatan itu menyatakan harapan bahawa Kementerian Luar Rusia akan meningkatkan usaha untuk memuktamadkan dan menyelaraskan perjanjian berkaitan.
SPIEF diadakan dari 3 hingga 6 Jun di bawah tema, "Dialog Pragmatik: Laluan Menuju Masa Depan Yang Stabil".
Menurut Penasihat Presiden Rusia dan Setiausaha Eksekutif Jawatankuasa Penganjur SPIEF Anton Kobyakov, acara itu menghimpunkan wakil dari 142 negara, dengan lebih 1,000 perjanjian ditandatangani dengan nilai keseluruhan lebih 6.642 trilion rubel (sekitar US$90.4 bilion).
Forum itu dianjurkan oleh Yayasan Roscongress, dengan TASS sebagai rakan kongsi maklumat am.
-- BERNAMA-TASS