NATIONAL
RUU Pembaharuan Bandar: KPKT anjur lawatan khas Ahli Parlimen termasuk ke flat uzur

Nga berkata, melalui lawatan ini, kerajaan ingin menekankan keperluan mendesak untuk menggubal RUU PSB yang telah dirangka sejak 2013 dan dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menganjurkan satu lawatan kajian khas di Kuala Lumpur pada 29 April ini bagi meningkatkan kesedaran Ahli Parlimen terhadap kepentingan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Menterinya Nga Kor Ming, berkata jemputan rasmi telah dihantar kepada semua Ahli Parlimen sejak awal April, termasuk penyokong kerajaan dan wakil rakyat pembangkang, untuk menyertai lawatan tersebut.
“Saya ingin menjemput semua Ahli Parlimen termasuk wakil rakyat pembangkang untuk melawat kawasan bandar yang daif dan uzur bersama KPKT serta mengkaji kejayaan projek-projek pembaharuan semula yang telah dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, lawatan itu akan melibatkan tinjauan ke beberapa flat uzur di ibu kota bagi mengkaji keadaan daif serta isu-isu setempat yang dihadapi penduduk, selain meninjau kejayaan projek pembaharuan yang telah membangunkan semula flat-flat usang menjadi kawasan kediaman moden dan berdaya huni.“Kami telah mengatur tiga buah bas dari Parlimen untuk membawa semua Ahli Parlimen melihat sendiri keadaan usang dan daif di beberapa flat kos rendah yang sangat memerlukan perhatian segera,” jelas beliau.
Katanya, melalui lawatan ini, kerajaan ingin menekankan keperluan mendesak untuk menggubal RUU PSB yang telah dirangka sejak 2013 dan dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidak timbul isu kerajaan ingin merampas tanah rizab Melayu apatah lagi mengusir melalui cadangan RUU PSB.
Anwar sebaliknya mempersoalkan tindakan sesetengah individu yang membantah cadangan tersebut termasuk menjadikan perkara itu sebagai sentimen politik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami