SERDANG: Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan kekal sehingga tamat penggal Parlimen bukan menjadi keutamaan kerajaan buat masa ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu belum pun dibincangkan antara pemimpin parti politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenainya namun kerajaan akan tetap membuat kajian mengenai cadangan tersebut.

Begitupun, tegasnya, bukan perkara itu yang menjadi masalah dalam negara sekarang, sebaliknya adalah cubaan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan meskipun tiada kekuatan untuk berbuat demikian.

“Mereka sangat lemah sekarang dan mereka tidak mampu untuk mendapat satu pertiga sokongan. Kenapa kita perlu bangkitkan persoalan ini?

“Keutamaan saya adalah, seperti saya pernah cakap, adalah untuk mentransformasikan negara ini, dari segi tata kelola, digital, untuk menjadikan negara kita lebih baik... itu adalah keutamaan saya.

“Orang mungkin agak sinikal dengan usaha antirasuah. Saya tidak faham bagaimana orang elit, nama besar berasa risau, agak gemuruh dengan usaha kita untuk memerangi rasuah.

“Saya fikir kita perlu berikan signal jelas bahawa cukup-cukuplah dengan perkara mengarut ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Peluncuran ‘Program Artifical Intelligence (AI) Untuk Rakyat’, di sini, pada Selasa. 

Kenyataan itu adalah respons kepada cadangan supaya diwujudkan satu undang-undang khusus bagi membolehkan kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU), mentadbir dan bertahan hingga akhir penggal.

Cadangan itu sebelum ini disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.