PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berharap agar Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) (Pindaan 2021) dapat diluluskan segera di Dewan Rakyat.

Jelasnya, ia bagi memastikan keberkesanan dalam mengawal penularan pandemik COVID-19 menerusi akta terbabit selepas Ordinan Darurat diungkaikan pada 25 Oktober 2021 di Dewan Rakyat, dan 8 Disember lalu di Dewan Negara.

"Peruntukan-peruntukan di bawah Ordinan Darurat didapati berkesan membantu dalam pelaksanaan kawalan pandemik COVID-19.

"Sidang Parlimen seterusnya adalah enam bulan daripada sekarang, sekali gus menjejaskan kesinambungan dan keberkesanan penguatkuasaan.

"Kita akan bentangkan ordinan (RUU 342) ini pada Khamis, kalau kita tunggu sesi Parlimen akan datang... agak lama," jelasnya.

BACA: RUU Pindaan Akta 342: Lima peruntukan baharu, lima pindaan dicadangkan KKM

Tambah Dr Noor Hisham, jika pembentangan itu mengambil masa terlalu lama, ia membantutkan usaha KKM dalam mengawal sebarang penularan varian baharu dengan menggunakan peruntukan undang-undang yang ada.

"Kalau (berkaitan) penularan Omicron kita akan terjejas dengan menggunakan akta ini untuk mengawal... bermakna kita gunakan Akta 1988 untuk kawalan pandemik.

"Ini akan menyukarkan kita membendung pandemik COVID-19 dalam negara. Sebelum Ordinan Darurat membantu kita, amat penting untuk kita bentangkan apa pindaan dalam akta tersebut," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat media berhubung Rang Undang-undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) (Pindaan 2021) di Putrajaya pada Selasa.