PUTRAJAYA: Penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Profesion Kerja Sosial merupakan antara inisiatif kerajaan bagi penyampaian perkhidmatan bantuan kebajikan yang lebih cekap dan mesra rakyat, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, RUU tersebut dapat memastikan kebajikan pekerja sosial termasuk pegawai kebajikan masyarakat lebih terbela dan diiktiraf mengikut kepakaran masing-masing.

Perdana Menteri berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memainkan peranan yang penting terutamanya dalam menjayakan misi kemanusiaan dan kebajikan sosial, dengan sebahagian besar warga jabatan telah mencurahkan khidmat bakti sepanjang negara dilanda pandemik COVID-19.

“Di sebalik wabak COVID-19, JKM telah memainkan peranan yang penting terutamanya dalam menjayakan misi kemanusiaan dan kebajikan sosial.

“Ramai di kalangan saudara-saudari telah pun mencurahkan khidmat bakti sebagai frontliners dalam membantu usaha kerajaan untuk mengekang penularan wabak ini walaupun terpaksa menghadapi pelbagai kekangan,” katanya.

Beliau demikian sewaktu berucap merasmikan Majlis Apresiasi Sempena Ulang Tahun Ke-75 JKM serta melancarkan Program Kembara Prihatin Negara, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, malam ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, inisiatif lain yang digariskan termasuk penstrukturan semula JKM termasuk mewujudkan pangkalan data berpusat untuk tujuan rekod penerima bantuan dan elaun khas warga JKM yang berkhidmat di kawasan berisiko tinggi

Kesemua inisiatif yang dirancang, tambah Muhyiddin lagi, memerlukan komitmen dan kerjasama daripada semua agensi pelaksana, termasuk warga kerja JKM yang sentiasa dekat di hati masyarakat

Pada Mac lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dilaporkan berkata, kementerian dalam peringkat akhir penggubalan RUU berkenaan.

Dengan perundangan tersebut, Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, profesion kerja sosial akan diiktiraf melalui pendaftaran dan perakuan amalan yang dikawal selia oleh Majlis Profesion Kerja Sosial.

BACA: Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial dalam peringkat akhir 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan memahami keperitan rakyat yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang giat menjalankan Program Kembara Prihatin Negara iaitu sebuah program turun ke padang di seluruh negara sejak 1 November 2020.

“Melalui program ini, pelbagai bentuk bantuan yang diberi termasuk keperluan harian dan sokongan sosial sehinggalah ke peringkat akar umbi bagi meringankan beban mereka,” katanya lagi.

Dalam pada tu, Perdana Menteri berkata, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada 22 Februari lepas, bagi membincangkan Hala Tuju Baharu Bantuan Sosial.

"Ini termasuklah cadangan untuk mewujudkan pangkalan data berpusat bagi menyelaraskan semakan kelayakan serta rekod penerima bantuan memandangkan terdapat sebanyak 192 jenis bantuan yang disalurkan kepada rakyat merentasi pelbagai agensi kerajaan,” katanya lagi.

Berucap lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau menzahirkan harapan agar warga JKM menjadi agen penyampaian yang proaktif dan cekap di kalangan masyarakat.

Muhyiddin berkata,  warga JKM perlu bertindak dengan pantas untuk memastikan usaha menyampaikan mesej dan bantuan kepada masyarakat di dalam komuniti masing-masing dengan betul dan berkesan.

“Ini termasuklah menambahbaik proses permohonan bantuan, mengurangkan kekangan birokrasi dan memastikan bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan, tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang.

“Sesiapapun yang memenuhi kriteria kelayakan penerima bantuan perlu dilayan secara adil dan saksama. Ini memenuhi prinsip prihatin yang menjadi teras pendekatan Kerajaan Perikatan Nasional pada hari ini,” katanya lagi.

Tambah Muhyiddin lagi, dengan peranan dan sumbangan JKM, negara akan terus diperkukuhkan untuk berada di landasan tepat mencapai aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Dalam majlis itu Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Hero dan Heroin Jaket Oren kepada Tuan Sajali, dan Dayang Rugayah Ag Besar, atas jasa dan sumbangan mereka kepada masyarakat sepanjang negara dilanda pandemik COVID-19.