MALAYSIA
RUU PSB: UMNO desak pembentangan di Dewan Rakyat ditangguh

Menurut Asyraf, bagi memastikan proses penambahbaikan dilakukan dengan telus dan adil, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut dilantik sebagai wakil rasmi parti untuk mengadakan rundingan dengan pihak berkaitan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: UMNO berpendirian tegas Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) sedia ada perlu ditangguhkan dan tidak diteruskan pembentangannya pada Sidang Dewan Rakyat akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bagi memastikan proses penambahbaikan dilakukan dengan telus dan adil, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut dilantik sebagai wakil rasmi parti untuk mengadakan rundingan dengan pihak berkaitan.
Jelasnya, Johari juga akan membawa pendirian parti itu dalam usaha menambah baik RUU berkenaan.
“Selaras dengan resolusi konvensyen, UMNO berpendirian tegas bahawa RUU URA yang sedia ada perlu ditangguhkan dan tidak diteruskan pembentangannya di Sidang Dewan Rakyat akan datang sehinggalah satu rombakan besar dilakukan dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan,” katanya.Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat.
Ia susulan Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar telah diadakan melibatkan pimpinan parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, pemaju dan wakil masyarakat pelbagai kaum bagi membincangkan isu berkenaan secara menyeluruh.
Dalam perkembangan berasingan, Asyraf memberitahu, UMNO menggesa kerajaan bertindak tegas dalam isu penahanan sukarelawan Malaysia yang menyertai Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
“UMNO akan memastikan kerajaan melakukan segala usaha untuk menjamin keselamatan dan pembebasan segera tanpa syarat serta kompromi terhadap semua sukarelawan Malaysia yang ditahan secara tidak sah,” ujarnya.
Beliau berkata, UMNO turut menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya terus konsisten dalam membawa suara Malaysia di peringkat antarabangsa untuk mengiktiraf negara Palestin dan mendesak Israel menghentikan operasi penghapusan etnik di Gaza.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami