SEMPORNA: Kerajaan Negeri Sabah membelanjakan lebih RM1 bilion ketika ini bagi menangani masalah bekalan air di negeri itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata peruntukan itu antaranya bagi menggantikan paip yang sudah usang di kebanyakan daerah, termasuk akibat dicuri.
"Di samping itu, terdapat satu daripada projek (air) yang besar ini akan siap pada hujung tahun ini dan perkembangan projek di Tawau lebih kurang 50 ke 60 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran 106 unit kedai dua tingkat Fasa 1 serta pecah tanah projek komersial fasa 2 dan 3 Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Jalan Bubul di sini hari ini.
Katanya, kerajaan hari ini berusaha mengatasi isu kemudahan asas air, elektrik dan jalan raya yang dihadapi rakyat sejak sekian lama.
Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri di bawah kepimpinannya mempunyai dasar mesra pelabur bagi memastikan ekonomi Sabah terus maju.
"Kita gubal satu dasar yang memudahkan pemaju dan juga pelabur dari luar datang ke Sabah, kerana jika ada pelaburan, aktiviti ekonomi akan lancar dan peluang pekerjaan untuk rakyat dapat diwujudkan, itu kita galakkan," katanya.
Beliau berkata pembangunan Sabah bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk sektor swasta, agensi pelaksana, usahawan dan rakyat.
Terdahulu, Hajiji ketika berucap berkata pembangunan Sabah tidak harus hanya dilihat pada Kota Kinabalu atau bandar-bandar besar, tetapi perlu dipergiatkan ke setiap daerah.
Mengenai pelancaran projek LPPB hari ini, katanya, perkara itu perlu dilihat sebagai sebahagian daripada perjalanan pembangunan Sabah dan bukan hanya sebagai satu projek komersial.
“Semporna mempunyai aset semula jadi yang sangat bernilai, iaitu keindahan pulau-pulau, namun untuk memastikan potensi tersebut dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang lebih besar kepada rakyat, kita memerlukan pembangunan yang saling melengkapi,” katanya.
Beliau berkata kedudukan strategik kawasan komersial Jalan Bubul di sepanjang laluan utama Balung-Semporna memberikan potensi untuk kawasan itu berkembang sebagai antara kawasan perdagangan dan perniagaan baharu.
Katanya, kawasan pembangunan berkenaan juga mempunyai kelebihan kerana terdapat sungai dan berhampiran dengan laut, serta sesuai untuk pertimbangan pihak pemaju membina sebuah jeti.
Hajiji berkata jeti yang sesuai dan cantik mampu memberi nilai tambah dan orang ramai dapat menikmati pemandangan sungai dan laut, bersantai, menikmati matahari terbenam serta mengambil gambar.
-- BERNAMA