Sabah memeterai perjanjian pelaburan bernilai RM100 juta antara syarikat Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu dan pemain industri biomas di Jepun.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, urusniaga itu melibatkan perjanjian selama 20 tahun melibatkan syarikat Blue Capital dan syarikat tempatan, Bloosom Bio Energy Sdn. Bhd. (BBE).

Malah menurutnya, pelaburan itu juga membabitkan bekalan produk berasaskan kelapa sawit.

"Alhamdulillah salah satu yang kita lakukan dalam misi ke Jepun hari ini ialah perjanjian pelaburan dari Jepun, sudah pun ditandatangani satu perjanjian dengan sebuah syarikat dari Jepun dan mereka akan meletakkan inisiatif syarikat mereka di POIC Lahad Datu serta akan mengambil masa perjanjian 20 tahun untuk membekalkan produk daripada kelapa sawit ke Jepun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita Malaysia selepas majlis menandatangani perjanjian itu di Tokyo, Jepun pada Rabu.

Mohd Shafie berada di negara Matahari Terbit itu selama enam hari dalam usaha bertemu dengan pemain industri pelbagai sektor untuk membawa pelaburan ke Sabah.