Penggunaan logo parti politik sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti dilihat akan menambah dinamik parti yang bertanding.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA, Kampus Sabah, Tony Paridi Bagang berkata, ia sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pengundi untuk memilih parti mengikut populariti serta pengaruh masing-masing.

"Jadi ini sebenarnya sesuatu yang mungkin akan berlaku kerana sudah ada cadangan-cadangan yang ingin menggunakan logo masing-masing.

"Contohnya PBS mahu guna logo sendiri selepas sekian lama selama ini menyertai BN semula guna lambang BN, kali ini guna lambang sendiri. Ini mungkin beri imej refreshing, imej kepada PBS itu sendiri dan mungkin juga akan menguji populariti parti tersebut.

"Namun sama ada ianya akan berlaku atau tidak bergantung kepada perundingan, perbincangan dan persetujuan yang bakal dicapai di antara parti masing-masing," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

BACA: Pemuda UMNO ajak Bersatu, Pas guna logo BN sewaktu PRU

BACA:
Sabah Memilih: AMK Sabah bantah guna logo Warisan, enggan 'mengemis'

Bagaimanapun katanya, penggunaan terlalu banyak logo akan menimbulkan kekeliruan terutama mereka yang tidak mempunyai interaksi yang baik dalam konteks memilih parti politik pada PRN kelak.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan agar logo BN digunakan sebagai lambang rasmi sewaktu pilihan raya Sabah dan pilihan raya umum akan datang.

Sementara, Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebelum ini dilaporkan berkata, isu penggunaan logo atau lambang rasmi yang akan diguna pakai oleh mereka pada PRN Sabah dijangka dibincangkan dalam masa terdekat dengan semua parti politik dalam gabungan PN.