Kerajaan negeri Sabah ditentukan oleh rakyat Sabah sendiri dan bukan ditentukan oleh kerajaan Persekutuan mahupun Umno.

Ketua Menteri Sabah sementara, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, untuk rakyat negeri itu melihat kemajuan, ianya terletak di tangan anak Sabah sendiri.

"Ini negeri kita dan biarlah kita sendiri yang menentukan kerajaan di negeri kita tanpa campur tangan dari kerajaan persekutuan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Shafie turut terkilan dengan tindakan pimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dilaporkan meminta siasatan berhubung penyerahan geran tanah oleh kerajaan negeri baru-baru ini.

"Saya bagi geran tanah mereka minta saya disiasat, kalau Najib (bekas Perdana Menteri) datang bagi geran tanah bersama Musa Aman (bekas Ketua Menteri Sabah) semasa PRU lalu mereka boleh buat tanpa ada isu," katanya lagi.

Tambahnya pihak yang sengaja menimbulkan isu itu adalah mereka yang kehabisan modal kempen untuk mengelirukan rakyat Sabah.

Sehubungan itu Shafie menyerahkan kepada rakyat Sabah untuk berfikir secara matang untuk menentukan siapa yang bakal memerintah negeri ini pada Pilihan Raya Negeri nanti .

Shafie ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Perinitis Ternakan Ikan Sangkar Sabah di Dewan Masyarakat Semporna, di sini pada Rabu.

Turut hadir mantan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong, Pegawai Daerah Semporna, Benedict Asmat dan 150 calon penerima Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi fasa pertama yang melibatkan Daerah Semporna, Kunak dan Tuaran.

Setiap peserta yang terpilih akan menerima tiga set sistem sangkar yang terdiri daripada dua belas petak dan akan di bekalkan benih ikan kerapu hibrid.