Siri jelajah penyerahan geran tanah anak negeri di Sabah diteruskan ke daerah Kudat hari ini dengan 399 geran tanah diserahkan Kerajaan Negeri kepada penduduk di lebih 100 buah kampung.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyempurnakan majlis penyerahan itu yang melibatkan tanah dengan keluasan 866.877 hektar.

Geran diserahkan kepada wakil dari 121 buah kampung di daerah itu.

Menurut Mohd Shafie, pelaksanaan penyerahan geran tersebut melibatkan proses pewartaan tanah dan kampung dari gazet hutan simpan negeri.

"Disamping itu, bukan sahaja pemilikan tanah, ada juga kampung-kampung yang perlu diwartakan dan penempatan-penempatan yang perlu diwartakan dan telah pun kita laksanakan dengan baik.

"Beberapa kampung yang dahulunya di bawah tanah rizab kerajaan negeri sudah kita mansuhkan untuk kita wartakan sebagai kampung dan pemilikan tanah-tanah itu akan dapat kita sempurnakan," katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan geran tanah yang diadakan di Dewan Tun Mustapha, di sini pada Rabu.

Tambah Mohd Shafie, kerajaan negeri tidak hanya menyerahkan geran sebaliknya memberi nilai tambah dengan memberikan bantuan kepada penduduk kampung untuk membangunkan tanah-tanah tersebut.

"Kita minta kementerian agar membantu memberikan benih-benih kepada mereka agar dibangunkan tanah-tanah ini dengan pelbagai tanaman komodoti. Contohnya yang bersesuaian dengan tanaman seperti durian, pamelo dan nenas," katanya.

Mengikut rekod yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Pejabat Ukur, daerah Kudat merupakan daerah yang sangat istimewa dan bersejarah kerana geran tanah pertama di Sabah (duhulu dikenali sebagai Borneo Utara) iaitu Country Lease No 1 dikeluarkan dan didaftarkan di Kudat pada 2 Februari 1884.

Semenjak dari itu sehingga kini, sebanyak 12,776 Geran tanah telah dikeluarkan untuk daerah Kudat dengan jumlah keluasan adalah 50,411.456 hektar (124,569 ekar) dimana sebanyak 6,587 (52%) adalah merupakan Geran Tanah Anak Negeri (NT).

399 Geran Anak Negeri (NT) bagi Daerah Kudat hari ini akan diserahkan kepada anak-anak negeri Sabah yang telah lama menduduki tanah mereka.