Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM) yang ingin meneliti keperluan mengenakan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke Semenanjung dari Sabah selepas urusan pilihan raya negeri (PRN).

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata walaupun situasi agak terkawal, langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengelak penularan COVID-19 yang lebih parah.

"Kalau itu merupakan satu langkah yang perlu kita lakukan, maka kita lakukan kerana kebimbangan saya walaupun keadaan di sini agak terkawal tapi di kawasan (lain) kita jangan ambil ringan.

"Saya tidak menjadi masalah sangat kerana di peringkat negeri, bilik gerakan kita punya pusat arahan yang dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri setiap waktu (yang) akan meneruskan pemantauan kes-kes," katanya kepada pemberita selepas berkempen di Pulau Bum Bum semalam.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata perkara itu akan dibincang dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada Sabtu, satu lagi kluster baharu dikesan iaitu Kluster Laut di Kunak, Sabah yang mencatat empat kes positif.

Sementara itu, Kluster Benteng Lahad Datu di Sabah setakat ini merekodkan 293 kes positif di Tawau dan 88 kes positif di Lahad Datu menjadikan jumlah keseluruhan yang dijangkiti COVID-19 bagi kluster tersebut ialah 381 orang.

-- BERNAMA