MALAYSIA
Sabah sasar teraju pasaran karbon ASEAN

Sabah bersedia menjadi pemain utama dalam pasaran karbon serantau dengan kelulusan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025.
KOTA KINABALU: Sabah bersedia menjadi pemain utama dalam pasaran karbon serantau dengan kelulusan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025 yang akan membuka laluan baharu kepada pelaburan hijau di negeri ini.
Ringkasan AI
- Sabah perkenal Enakmen Karbon 2025: Menyediakan asas undang-undang yang kukuh bagi menarik pelaburan hijau dan mengiktiraf hak milik karbon Kerajaan Negeri.
- Kerjasama ASEAN dalam pasaran karbon serantau: Sabah bersedia bantu penubuhan pasaran karbon ASEAN yang seragam demi pengiktirafan kredit karbon rentas sempadan.
- Pembangunan mampan dan peluang ekonomi: Pelan pemulihan hutan 400,000 hektar dijangka sumbang RM11 bilion kepada KDNK Sabah dan cipta 40,000 pekerjaan hijau.
Katanya, Sabah bersedia memainkan peranan bersama negara ASEAN lain untuk memastikan penyelarasan peraturan dan pengiktirafan kredit karbon rentas sempadan dapat direalisasikan.
“Landasan undang-undang ini memberi keyakinan yang diperlukan oleh pelabur. Tetapi peluang yang lebih besar terletak dalam kerjasama ASEAN. Untuk memperkembangkan ruang ini, kita memerlukan pasaran karbon serantau yang berfungsi.
“Itu bermakna taraf yang seragam, penjajaran peraturan dan pengiktirafan bersama kredit karbon rentas sempadan. Sistem yang berpecah-belah hanya akan melambatkan pelaburan.
“Negeri Sabah bersedia bekerjasama dengan negara-negara ASEAN lain untuk menggerakkan agenda ini ke hadapan.
“Hutan kita sudah pun memainkan peranan mereka. Kini rangka kerja perlu seiring,” katanya semasa Sidang Kemuncak Perhutanan Mampan ASEAN 2025 di Kota Kinabalu pada Selasa.
Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah kini memiliki struktur pentadbiran karbon yang jelas, termasuk penubuhan Majlis Tindakan Iklim, Tabung Iklim Negeri serta inventori pelepasan karbon di peringkat negeri.
Hak milik karbon juga telah diiktiraf sebagai hak Kerajaan Negeri Sabah, dengan proses kelulusan dan perdagangan kredit dikawal secara telus.
Sabah, katanya, antara wilayah di dunia yang menyerap lebih banyak karbon daripada yang dilepaskan, menyumbang kira-kira 36 peratus daripada kapasiti penyerapan karbon Malaysia.
“Ini bukan sekadar pencapaian alam sekitar, malah merupakan aset ekonomi strategik yang memberi kelebihan daya saing kepada Sabah dalam pasaran global yang semakin menitikberatkan inisiatif rendah karbon.
“Hak karbon kini telah disahkan sebagai milik Kerajaan Negeri dan aktiviti berkaitan karbon daripada kelulusan projek hingga perdagangan kredit kini akan ditadbir melalui struktur yang jelas dan boleh dikuatkuasakan,” katanya.
Beliau menambah, sektor perhutanan terus menjadi tunjang pembangunan negeri di bawah pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), dengan Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan dilaksanakan bagi memulihkan 400,000 hektar hutan terosot dalam tempoh 15 tahun.
Inisiatif ini bukan sahaja memulihkan ekosistem, tetapi juga membuka peluang pekerjaan hijau serta memperkukuh ekonomi luar bandar.
Hajiji turut menggesa pemegang lesen Unit Pengurusan Hutan (FMU) agar mematuhi tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kelestarian projek perhutanan, manakala Jabatan Perhutanan Sabah diminta memperkukuh kawalan selia serta pemantauan projek. Pelan ini dijangka menyumbang lebih RM11 bilion kepada KDNK Sabah serta mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan dalam sektor berkaitan.
Selain itu, beliau memaklumkan sektor kayu kekal sebagai penyumbang utama ekonomi Sabah dengan hasil royalti meningkat kepada RM171 juta pada 2024, manakala eksport produk kayu ke pasaran utama seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Taiwan terus mencatat pertumbuhan.
“Sabah juga sedang memperkukuh peranan dalam industri sawit, menyumbang lebih 25 peratus kepada pengeluaran CPO negara, dengan usaha dipergiat untuk menarik pelaburan hiliran termasuk biofuel dan pembangunan biojisim,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami