KOTA KINABALU: Cadangan rang undang-undang (RUU) meminda Perlembagaan Persekutuan agar selaras dengan peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah hasil kegigihan Sabah dan Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau dan rakan sejawatnya  di Sarawak telah mengemukakan tuntutan negeri-negeri pada Majlis Khas MA63 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Oleh itu, RUU untuk meminda Perlembagaan Persekutuan sebenarnya adalah hasil daripada keputusan Majlis Khas MA63 yang mengambil kira permintaan daripada Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan negeri melihat pembentukan MKMA63 sebagai fasa penting dan manifestasi kesediaan kerajaan hari ini untuk menyelesaikan isu-isu yang telah dipersetujui sebelum ini,” katanya semasa menyempurnakan sesi taklimat MKMA63 bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan Sabah, di Bangunan DUN, pada Sabtu.

Semasa program itu, Hajiji turut berkata jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Masidi Manjun juga telah ditubuhkan untuk berunding bagi mendapatkan lebih banyak bahagian hasil dalam sektor minyak dan gas daripada Petronas.

Katanya, beliau sendiri telah bertemu secara peribadi dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas untuk membincangkan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA), yang menurutnya akan ditandatangani tidak lama lagi.

“Melalui CCA, Sabah akan mempunyai perkongsian hasil yang lebih besar serta penyertaan yang lebih besar dalam hal minyak dan gas kita,” katanya.

Taklimat khas itu bertujuan memberi gambaran kepada wakil rakyat mengenai perkembangan terkini tuntutan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Khas MA63.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri  (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Maximus Ongkili; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Semasa taklimat itu, Hajiji turut menyaksikan penyerahan kuasa mengeluarkan lesen perikanan laut dalam kepada kerajaan negeri.