KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah meningkatkan sasaran kehadiran pelancong pada tahun ini kepada 3 juta orang berbanding 2.8 juta sebelum ini berikutan perkembangan industri pelancongan negeri itu yang memberangsangkan terutamanya tahun lepas.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew berkata, peningkatan industri pelancongan Sabah dapat dilihat apabila negeri itu mencatat pulangan kira-kira RM4.6 bilion menerusi kedatangan lebih kurang 2.5 juta pelancong sepanjang 2023.

"Sehubungan itu, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) perlu bekerja keras untuk memastikan sasaran berkenaan dapat dicapai.

"Saya telah mendengar perancangan mereka minggu lepas dan saya percaya sasaran itu dapat dicapai," katanya kepada pemberita semasa sidang media Sambutan Tahun Baru Cina 2024 Kerajaan Sabah di sini pada Isnin.

Semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada November lepas, Liew dilaporkan berkata, negeri itu menyasarkan kedatangan 2.8 juta pelancong tahun ini yang dijangka dapat menjana pendapatan sebanyak RM5.6 bilion.

Beliau berkata, antara perancangan yang akan dilaksanakan STB ialah dengan pergi ke beberapa negara luar bagi mempromosikan pelancongan di Sabah dan negara berkenaan juga telah dikenal pasti.

"Kementerian juga akan menganjurkan pelbagai program termasuk Sabah-Malaysia Rumah Keduaku (SMM2H). Program ini dapat menarik minat pelabur dan pelancong untuk datang ke Sabah.

"Kita berharap pelancong golongan atasan berpindah ke Sabah dan mewujudkan manfaat ekonomi di negeri ini," tambahnya.

Sementara itu, mengenai rumah terbuka Tahun Baru Cina 2024 Kerajaan Sabah, Liew berkata, sambutan tersebut dijadual diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 10 Feb ini.

"Pelbagai acara akan diadakan pada sambutan itu yang bermula 11 pagi hingga 2 petang. Kita jangkakan 10,000 pengunjung akan hadir," katanya. - BERNAMA