Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini mengesahkan bahawa dua tompokan minyak memang ditemui di perairan Vietnam semasa operasi mencari yang dilakukan oleh pihak berkuasa negara itu.

Walaubagaimanapun, Hishammudin berkata tiada serpihan pesawat ditemui di kawasan timbulnya tompokan minyak tersebut.

“Pada ketika ini, pesawat-pesawat Vietnam telah ke kawasan terbabit untuk mengenal pasti sama ada minyak itu datangnya dari pesawat,” katanya semasa satu sidang media di Hotel Sama-Sama di KLIA hari ini.

Semalam, akhbar Vietnam Tuoi Tre melaporkan bahawa tompokan minyak yang ditemui itu masing-masing sepanjang 20 kilometer pada jarak 500 meter antara satu sama lain itu ditemui juruterbang pesawat tentera Vietnam yang menyertai misi pencarian tersebut.

Tompokan minyak itu dilaporkan ditemui 140 kilometer ke selatan Pulau Tho Chu di pesisir selatan Vietnam.

Hishammudin turut berkata, usaha mencari dan menyelamat penumpang MH370 juga akan mengambil kira kemungkinan pesawat itu melakukan pusingan (air turn back).

“Oleh sebab itu, kawasan pencarian pesawat itu akan diperluaskan lagi,” katanya.

Hishammuddin menambah bahawa beliau telah berhubung dengan Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen semalam dan Negara tersebut telah bersetuju untuk menghantar aset yang lebih termasuk tiga kapal.

Penerbangan MH370 ke Beijing itu membawa 227 penumpang dari 14 negara selain 12 anak kapal terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi Sabtu.

Pesawat itu berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.

Ia dilaporkan hilang selepas gagal dikesan pada radar pusat kawalan trafik udara Vietnam yang kemudian melaporkannya kepada pusat kawalan trafik di Subang.