Saham syarikat pembuat sarung tangan getah, Hartalega Holdings Bhd dan Top Glove Corporation Bhd diniagakan tinggi hari ini selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penularan COVID-19 sebagai pandemik.

Setakat malam tadi, lebih 120,000 orang di 114 negara di seluruh dunia telah disahkan dijangkiti COVID-19 dengan Malaysia mencatatkan 149 kes.

Public Investment Bank menerusi nota penyelidikannya berkata Kementerian Kesihatan telah bekerjasama dengan makmal swasta untuk menyediakan perkhidmatan ujian diagnostik COVID-19 kepada individu yang tidak dikategorikan sebagai pesakit mengikut kriteria pemeriksaan.

IHH dan KPJ merupakan antara yang terpilih untuk melaksanakan perkhidmataan atas permintaan tersebut di peringkat tempatan.

"Secara keseluruhan, kami positif dengan perkembangan ini walaupun sumbangannya masih kecil kepada keseluruhan perolehan penyedia penjagaan kesihatan itu pada masa ini," menurut kenyataan itu.

Firma penyelidikan berkenaan juga memberi saranan 'overweight' ke atas sektor penjagaan kesihatan.

'Overweight' bermakna saham itu akan mencatatkan prestasi baik bagi tempoh akan datang dan menawarkan nilai lebih baik bagi wang.

Pada 10 pagi, saham Hartalega meningkat 18 sen kepada RM6.66 dengan 3.43 juta saham diniagakan manakala Top Glove melonjak 37 sen kepada RM6.65 dengan 8.60 juta saham bertukar tangan.

Saham IHH bagaimanapun turun dua sen kepada RM5.57. - BERNAMA