KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memperkenalkan harga dua peringkat (two-tiered pricing) untuk produk minyak sawit kegunaan eksport dan domestik.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mencadangkan perkara demikian susulan kenaikan 100 peratus harga minyak masak botol berbanding harga pada Disember 2019 yang disifatkan tidak munasabah.

"Bagi eksport, harga minyak sawit dijual mengikut harga pasaran, manakala untuk tujuan domestik, kerajaan boleh memperkenalkan harga lebih rendah.

"Ini membolehkan harga minyak masak tempatan menjadi murah berbanding sekarang dan bahkan subsidi yang ditanggung kerajaan akan berkurangan.

"Cadangan ini saya kira munasabah memandangkan hanya 1 juta tan minyak sawit mentah digunakan untuk tujuan ini, berbanding lebih 20 juta untuk tujuan eksport yang memberikan pendapatan lumayan kepada industri ini mencecah RM70 bilion," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu juga mencadangkan supaya kerajaan membiayai subsidi untuk semua bekalan minyak masak dalam negara.

"Jika ini tidak boleh dijadikan dasar tetap kerana kekangan biaya kerajaan boleh laksanakan sebagai 'one-off' dan langkah ini akan menurunkan harga minyak masak pada tahap yang tidak membebankan rakyat selaku pengguna.

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan mengguna pakai Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan dengan memperkenalkan harga siling bertujuan menghalang kenaikan berterusan harga minyak masak di pasaran.

"Sekali lagi saya menggesa kerajaan untuk segera bertindak bagi membuat keputusan yang betul menangani kenaikan harga minyak masak yang sudah sampai pada tahap yang sangat membebankan rakyat," ujarnya.

Saifuddin dalam pada itu tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bahawa harga minyak masak di pasaran sekitar RM30 bagi botol lima kilogram adalah munasabah.

Khairuddin berkata purata harga minyak sawit mentah (MSM) di antara RM4,000 dan RM4,500 satu tan menyebabkan kenaikan harga minyak sawit bertapis lebih tinggi kepada sekitar RM5,000 satu tan.

Justeru, katanya, ini menyebabkan harga minyak masak di kilang berada pada kadar RM4.50 hingga RM5 sekilogram.