PUTRAJAYA: Kerajaan tidak menarik balik subsidi minyak masak peket seperti yang didakwa pihak tertentu.

Demikian jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kekeliruan yang berlaku susulan penarikan semula subsidi minyak masak botol diumumkan sebelum ini.

Jelasnya, subsidi minyak masak peket dikekalkan bagi meringankan beban dialami rakyat terutama golongan B40 susulan peningkatan harga barangan ketika ini.

"Saya ingin menjelaskan kekeliruan berhubung subsidi minyak masak sejak semalam, ramai buat kenyataan agak mengelirukan.

"Yang mengatakan subsidi minyak masak ditarik balik, suka saya menjelaskan bahawa pihak kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak dengan jumlah RM4 billion pada tahun 2022 ini, setakat ini.

"Kemungkinan ada pertambahan terutama apabila harga minyak kelapa sawit meningkat," jelasnya pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri di sini pada Rabu.

Tambah Ismail Sabri, subsidi yang diberikan itu jauh lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

"Ini jauh lebih tinggi berbanding subsidi yang lepas sebanyak RM500 juta pada tahun 2020, dan RM2.2 billion pada tahun 2021.

"Minyak masak yang disubsidi kerajaan adalah sebanyak 60,000 tan metrik sebulan, melebihi keperluan sebenar pengguna iaitu sebanyak 55,000 tan metrik sebulan.

"Walaupun keperluan 55,00 tan metrik, kerajaan telah beri subsisdi 60,000 tan metrik bermakna terdapat 5,00 tan metrik lebihan," katanya lagi.

BACA: Kerajaan hapus subsidi minyak masak tulen berbotol mulai 1 Julai

Ujar Perdana Menteri, ketika ini rakyat dapat menikmati manfaat subsidi yang diberikan kerajaan pada minyak masak peket dengan harga RM2.50 sekilogram berbanding harga pasaran iaitu RM9.00.

"Sebab itu kalau kita tengok pada peket plastik minyak masak tersebut akan tertulis untuk kegunaan rumah, jadi ini untuk kegunaan rumah terutama golongan B40.

"Subsidi ini telah bermula sejak Jun 2007 lagi, maknanya subsidi ini masih dilaksanakan kerajan dan tidak ditarik balik seperti digambarkan sesetengah pihak di luar sana, itu tidak betul," tambahnya.