Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Saifuddin Abdullah hari ini, mengesahkan sudah menerima surat tuntutan daripada PKR bagi menuntut pampasan RM10 juta daripada beliau.

Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata surat itu diterimanya pada minggu lepas dan beliau difahamkan 'teman-teman lain beliau' juga telah menerima surat masing-masing.

"Saya telah mendapat letter of demand (surat tuntutan) tentang RM10 juta daripada parti saya yang lama dan saya ada peguam yang kebetulan adalah pegawai tugas-tugas khas saya iaitu Abdul Razak Ahmad.

"Kami yang mendapat surat ini juga sudah berbincang apa tindakan selanjutnya yang harus dilakukan... jadi kita tunggu pengumuman yang selanjutnya," katanya pada sidang media selepas merasmikan pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi SKMM Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dan Pengarah SKMM Pahang Zahari Ismail, Pengarah Penerangan Pahang Mohd Salmun Mustafa dan Pengurus Besar Telekom Malaysia Pahang Datuk Zulfikri Hashim.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung bahawa parti itu akan mengeluarkan surat tuntutan kepada 19 ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang keluar parti agar membayar pampasan RM10 juta masing-masing kepada parti.

Lee turut dilaporkan berkata mereka yang disenaraikan perlu membayarnya dalam tempoh tujuh hari dan jika gagal, parti akan mengarahkan peguam untuk meneruskan prosiding bersesuaian bagi mendapatkan pampasan itu.

-- BERNAMA