MALAYSIA
Sakit kronik, ibu tunggal ikat perut demi anak-anak

Zailawati Ismail, 41, berkata, kehidupannya berubah sepenuhnya selepas kehilangan suami, Ramli Mat Rahim, 44, yang meninggal dunia dua tahun lalu akibat ditimpa dahan pokok ketika melakukan kerja menebang. - Sinar Harian
DUNGUN: Seorang ibu tunggal yang menghidap penyakit kronik terpaksa menggunakan wang pinjaman pendidikan anaknya bagi membeli keperluan dapur dan menampung perbelanjaan harian.
Zailawati Ismail, 41, berkata, kehidupannya berubah sepenuhnya selepas kehilangan suami, Ramli Mat Rahim, 44, yang meninggal dunia dua tahun lalu akibat ditimpa dahan pokok ketika melakukan kerja menebang.
Menurutnya, keadaan bertambah sukar apabila dia turut menghidap penyakit endometriosis kronik sejak enam tahun lalu sekali gus membataskan pergerakan dan keupayaannya untuk bekerja.
"Kami sekeluarga sudah biasa ikat perut. Ada kalanya hanya makan nasi dengan kicap kerana tidak cukup wang untuk beli lauk.
"Saya pula tidak boleh berdiri lama kerana mudah pitam. Saya pernah cuba bekerja di kedai makan tapi kerap pengsan. Selain itu, saya pernah juga berniaga air di hadapan rumah tapi kesihatan merosot dan saya pitam ketika berniaga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Ibu kepada tiga anak berusia antara 12 hingga 19 tahun itu berkata, mereka kini hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.
Menurutnya, tekanan hidup yang semakin menghimpit menyebabkan dia sering diserang keresahan melampau (anxiety) kerana terlalu banyak berfikir mengenai masa depan keluarga.
Beliau juga mengakui terpaksa menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) anak sulungnya yang kini menuntut di sebuah kolej swasta di Kuantan, Pahang, untuk membeli barangan dapur dan membiayai kos ulang-alik ke hospital.
"Kami tak ada kenderaan sendiri. Kalau nak ke hospital, saya terpaksa minta tolong jiran. Kalau ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, kos boleh cecah RM100 termasuk makan minum dan pengangkutan," katanya yang menetap di Felda Jerangau di sini.
Menurutnya, mereka sekeluarga sekali lagi diuji apabila anak bongsunya, Nur Alia Batrisya Ramli, 12, patah kaki kiri selepas terjatuh ketika bermain bola jaring di sekolah hujung bulan lalu.
Anak lelaki saya, Mohd Aiman Haikal, 16, pula sanggup ambil upah mesin rumput dan mengait buah kelapa sawit selepas balik sekolah untuk bantu tampung kos rawatan adiknya," ujarnya.
Namun, Zailawati menegaskan bahawa dia tidak akan mengabaikan pendidikan anak-anak walaupun hidup dalam kesempitan.
"Ada yang persoalkan kenapa anak saya belajar di kolej swasta. Bagi saya, biarlah dia teruskan pelajaran demi masa depan. Lagipun dia guna pinjaman PTPTN. Insya-ALLAH nanti bila kerja, dia akan bayar semula.
"Anak-anak pun sangat faham keadaan saya. Mereka pun berjimat dan sanggup berlapar semata-mata untuk pastikan duit yang ada cukup untuk perbelanjaan asas," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu keluarga ini boleh menghubungi Zailawati di talian 013-9332122.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami