KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan beberapa saksi termasuk pegawai bank di Singapura bersetuju untuk memberi keterangan berhubung kes suami bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Datuk Dr Tawfiq Ayman yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sepasukan pegawai penyiasat akan ke negara berkenaan pada 29 dan 30 Mac ini bagi mengumpul maklumat.

"Kami sudah dapatkan saksi di sana yang membabitkan pihak perbankan dan mereka setuju untuk membantu siasatan dengan memberi keterangan.

"Apabila semua keterangan dan dokumen diperoleh, kami boleh teruskan dengan rujuk semula kertas siasatan ke Timbalan Pendakwa Raya," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Kamarudin berkata setakat ini beberapa saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan dan tambahan keterangan saksi lain akan dibuat bergantung kepada keadaan.

Sebelum ini, Mohd Kamarudin dilaporkan berkata Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura bersetuju pasukan penyiasat polis ke negara itu bagi berkongsi maklumat atau dokumen secara on intelligence basis untuk siasatan kes tersebut.

Beliau berkata pihak berkuasa di Singapura telah memberi persetujuan untuk pasukan penyiasat Polis Diraja Malaysia ke negara berkenaan pada Disember 2021 dan Februari lepas, namun tidak dapat dilaksanakan atas beberapa faktor.



Kenyataan tersebut hadir susulan keterangan diberikan Tim Leissner yang juga bekas pengerusi syarikat perbankan, Goldman Sachs pada prosiding perbicaraan terhadap bekas pegawai bawahannya, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn, New York, baru-baru ini.

Leissner dilaporkan menyebut kegiatan rasuah melibatkan Tawfiq mengenai projek usaha sama PetroSaudi - 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semasa perbicaraan di mahkamah.

SPRM sebelum ini dilaporkan mendedahkan sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik Tawfiq.

-- BERNAMA